“Mungkin Masa Itu Oksigen Dalam Otak Dia Dah Kurang” - Atu Zero Harap Sharif Berhenti Kongsi Kisah Peribadi Orang Lain
Pelawak Atu Zero menganggap tindakan abangnya iaitu Sharif berkongsi mengenai kisah silamnya ketika menjadi tetamu di sebuah podcast bulan lalu tidak sewajarnya.
Isteri terkesan
Tidak mengambil hati dengan tindakan tersebut, Atu bagaimanapun berharap selepas ini abangnya hanya bercerita mengenai diri sendiri bukannya tentang orang lain.
“Biasalah, tak kisah la sesiapa… abang ke, bila tengah syok bercakap tu dia tak sedar. Mungkin masa itu oksigen dalam otak dia dah kurang, terkeluar la benda yang tak sepatutnya. Tak apa, biasalah kekhilafan.
“Yang penting lepas ini janganlah bercerita fasal orang, cerita fasal diri sendiri. Saya tak marah dan tak terasa hati. Cuma orang sekeliling saya, yang sayang saya terkesan dengan apa yang dia cakap,” katanya kepada Gempak.
Berhenti kongsi
Akui isteri terkesan dengan perkongsian Sharif, Atu memberitahu dia enggan memanjangkan isu tersebut namun mengharapkan perkara itu tidak berulang lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Sharif Imbau Detik Hitam Atu Zero, Lari Ke KL & Jadi Gelandangan - “Dulu Aku Tengok Dia Macam Tiada Harapan”
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah Buat ‘Show’ Percuma, Atu Zero Hanya Mahu Hiburkan Orang - “Bila Kita Tengok Orang Gembira, Hati Rasa…”
“Isteri saya yang terkesan, sebagai suami sudah tentu saya kena jaga hati dan perasaan isteri. Dia banyak kali minta saya follow up (hubungi Sharif). Tapi saya cakap dekat dia, ‘tak apa la sebab kita pun tahu perangai dia macam mana’.
“Biarkan saja, cuma kalau dah melebihi sampai mengganggu reputasi saya, menganggu kerja saya, saya akan bersuara walaupun kita berkeluarga tapi kita kena faham, bukan semua benda boleh kongsi.
“Lagi-lagi benda itu tak baik. Kita pun dah jadi perhatian orang, kita kena tunjuk benda-benda yang baik saja,” ujarnya.
Nafi dakwaan abang
Dalam pada itu, Atu turut menafikan dakwaan abangnya yang mengatakan dirinya pernah lari dari kampung dan tiada harapan disebabkan hampir terjerumus dengan gelaja dadah.
“Ada yang menambah perasa, saya pun fikir macam ‘eh tak ada ini’. Tapi mungkin dalam fikiran dia masa itu, dari sudut pandangan dia begitu dan mungkin jadi positif untuk orang lain.
“Part yang lari rumah itu… sebenarnya saya tak lari, kalau saya lari, saya tak balik. Biasalah masa itu kita remaja, kita rasa nak cuba semua benda. Tapi tiada istilah lari rumah seperti yang didakwa.
“Yang terjerumus dan tak ada harapan itu bagi saya, benda itu tak patut. Bagi saya, semua orang ada harapan… bila tak ada harapan, bila dah masuk kubur. Tapi mungkin dia cakap untuk bagi positif pada orang,” katanya lagi.
Terdahulu, Sharif mendedahkan, Atu pernah lari dari kampung ke Kuala Lumpur (KL) dan menjalani kehidupan sebagai gelandangan kerana tidak mempunyai wang.
Pada perkongsian yang sama, Sharif memberitahu Atu juga pernah hampir terjerumus dengan gelaja dadah disebabkan tersalah langkah dalam memilih kawan.