Insiden penyanyi Alif Satar yang disahkan positif jangkitan Covid-19 baru-baru ini selepas menghadiri sebuah acara hiburan menerima pelbagai respons dalam kalangan masyarakat.

Ada yang mengandaikan program hiburan seolah-olah diberi kelonggaran untuk diadakan biarpun keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.

Bahkan, kebimbangan penularan virus tersebut itu juga menyebabkan ada netizen mula menuding jari seolah-olah menyalahkan golongan artis yang gagal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan sehingga merasakan program hiburan wajar ditangguhkan.

Begitupun, bagi penyanyi Wany Hasrita, katanya, dia percaya bahawa setiap orang mempunyai hak dan pandangan masing-masing dalam memberikan reaksi terhadap apa yang berlaku.

"Pada saya itu pendapat masing-masing. Mereka berhak keluarkan pendapat tersendiri. Apa yang kita boleh jaga itu dari segi budi bahasa atau cara kita mengeluarkan kata-kata, pemilihan ayat, biarlah yang berhemah sedikit.

"Apapun sebenarnya kita semua sama. Kita semua bekerja untuk mencari nafkah dan rezeki, malah semua kerja yang ada di dunia ini, selagi kita tak berada tempat seseorang itu, selagi itulah kita tak patut pun bercakap tentangnya, baik dari segi kerjaya dan apa yang mereka buat.

"Mungkin mereka tak faham cara kita bekerja, saya pun tak boleh nak salahkan mereka," katanya kepada Gempak.

Pada masa sama, kata Wany, apa yang berlaku tempoh hari itu juga sebenarnya membuka mata ramai pihak mengenai nilai kesedaran yang ada pada golongan artis itu sendiri.

Buktinya, apabila ramai artis menjalani ujian calitan dan menjalani kuarantin kendiri biarpun bukan dikategorikan sebagai kontak rapat.

"Walaupun ada antara mereka yang tak perlu, tapi mereka sangat bertanggungjawab dan terus jalani kuarantin.

"Situasi itu menunjukkan betapa kami ini pun sangat faham tentang seriusnya pandemik ni. Janganlah ingat kita asyik nak kerja kejar duit," katanya.

Wany merupakan antara artis yang kini menjalani tempoh kuarantin wajib selepas tersenarai sebagai individu kontak rapat kepada Alif Satar.

BACA: "Tak Mahu Ambil Risiko...Duduk Rumah Lain" - Wany Hasrita Diarah Pakai Gelang Pink, Jalani Kuarantin Wajib

Terdahulu, Alif disahkan positif Covid-19 selepas sehari mengikuti sebuah program hiburan yang bersiaran secara langsung.

BACA: Alif Satar Positif COVID-19; “Saya Mohon Maaf, Doakan Saya”


Kredit foto: Instagram Wany Hasrita