Hiburan
"Mungkin Orang Kenal Saya Di Kaca Televisyen Sebagai Selebriti, Tapi..." - Fikry Ibrahim
Tidak merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, pelawak dan pelakon Fikry Ibrahim mahu memberikan tumpuan terhadap karier dan perniagaannya.
Namun begitu, Fikry, 26, mempunyai sasaran tersendiri dan mencari gadis yang menerima baik buruknya di dalam dan di luar kamera.
"Saya sasarkan untuk tamatkan zaman solo sebelum usia 30 tahun. Buat masa ini, biarlah saya memberi tumpuan untuk mencari rezeki.
"Saya mahu memberikan fokus terhadap kerjaya sebelum memikirkan mengenai rumah tangga. Saya inginkan seorang wanita yang boleh menerima buruk dan baik saya, di dalam dan di luar kamera.
"Mungkin orang mengenai saya sebagai selebriti bernama Fikry Ibrahim di kaca televisyen, tetapi sisi sebenar sebagai Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim mungkin tidak diketahui orang ramai," katanya.
Fikry ditemui pada majlis pelancaran aplikasi penghantaran makanan dan platform masakan dari rumah yang pertama, Go Eat di Damansara Perdana, baru-baru ini.
Masih berstatus solo, Fikry mempunyai perancangan tersendiri untuk membina keluarga.
"Siapa tak nak kahwin? Saya juga menyimpan keinginan terbabit, tetapi calonnya belum ada dan saya mahu mengejar cita-cita terlebih dahulu sebelum membina keluarga.
"Biarlah bakal isteri nanti dapat menerima saya kala susah dan senang... Pastinya saya memilih seorang wanita yang menghormati orang lain, terutamanya ibu bapa dan keluarga saya," katanya lagi.
Must-Watch Video