Pelakon Nonny Nadirah mengesahkan rumah tangga yang dibina kurang tempoh setahun bersama suaminya, Mustain Adnan telah sampai ke titik noktah.

Memetik laporan BH Online, Nonny akui berasa sukar untuk mendedahkan perkara itu kepada umum dan menjelaskan perpisahan itu bukan disebabkan oleh orang ketiga.

"Mungkin sudah ditakdirkan jodoh kami tidak panjang, tidak timbul isu orang ketiga, sebaliknya ia berpunca daripada kelemahan dan kekurangan diri masing-masing.

"Maaf, buat sementara waktu, saya belum bersedia untuk mendedahkan tarikh sebenar kami berpisah, bukan ini jalan yang kami mahukan, tetapi kita tak mampu melawan qada dan qadar.

"Kami tidak boleh memaksa hati untuk meneruskan perkahwinan, bimbang nanti akan memudaratkan diri, selepas membuat solat istikharah, saya mendapat petunjuk dan ini jalan yang terbaik buat kami berdua," katanya.

Terdahulu, spekulasi perpisahan pasangan ini mula tercetus apabila mereka berdua memadam gambar dan video mereka bersama di akaun Instagram masing-masing.

Nonny dan Mustain mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2018 selepas perkenalan selama sembilan tahun.

Sumber : BH Online