Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Muntah, Ketakutan… Seluruh Badan Rosak,” – Elyana Mohon Tolong Fahami, Bukan Menghakimi

Mya Amri
25/11/2021 08:48 MYT
Penyanyi, Elyana Emrizal yang kini sedang berdepan dengan dugaan kesihatan tampil meluahkan perasaannya.

Elyana menerusi coretan panjang di akaun Instagramnya berharap netizen dapat memahami situasi yang dilaluinya.

Menurut Elyana, sepanjang 10 tahun lebih melawan penyakit kenser limfoma tahap 4, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap terbaik.

Namun bagi sesetengah netizen yang seolah-olah tidak mengerti akan usahanya dan menghakimi setiap perkara yang dilakukan membuatkan Elyana berasa sedih.

“Saya dah sakit lebih 10 tahun. Lebih 20 kali kemo… Lebih 30 kali radioterapi. Apa yang saya tak pernah lakukan?

“Diet? Pantang? Makan ubat? Rebus daun? Benda yang anda tak terfikir boleh makan pun saya makan… Macam-macam rasa saya telan juga untuk sihat.

“Tak makan selama setahun pun pernah, sebab tak ada selera. Berubat semua ceruk orang beritahu saya pergi.

“Tapi… Jika kamu jadi saya, baru kamu akan faham keadaan ini. Tak ada gunanya jika saya jelaskan selagi kamu tidak merasainya sendiri.

“Beza kalau kita ni pernah jaga atau kenal orang yang sakit dengan kita sendiri yang mengalami dan berperang dengan sakit. Beza…

“Jika anda ingin membantu, belajar lah memahami… Bukan menghakimi dalam komen dan complain. Rosak jiwa saya. Saya dah buat sebaik mungkin yang saya mampu untuk 10 tahun ni,” coretnya.

A post shared by Elyana Emrizal (@elyanaofficial1)


Malah kata Elyana, bukan mudah untuk menjaga diri sendiri apatah lagi menjaga orang lain dalam keadaanya yang kurang sihat sebegini.

“Saya tiada yang bantu untuk menjaga saya. Malah saya yang harus menjaga orang lain. Saya tak mengadu hanya nak beritahu. Saya bukan ada Superpower. Saya pun manusia biasa. Nak jaga diri sendiri pun tak ada masa.

“Tak campur lagi struggle saya yang tak ada selera nak makan. Mulut penuh ulser, demam tak menentu, saraf seluruh badan sakit, susah berjalan, tak boleh minum air, telan air liur pun sakit…

“Muntah… Ketakutan… Seluruh badan rosak… Susah bercakap… Tumpah darah bertahun-tahun, nak duduk berdiri sakit, nak jaga keluarga, nak cari duit, berfikir… Tak boleh tidur...

“Nak selalu tersenyum depan anda… Berat… Terlalu berat. Kamu tak akan dapat memahami selagi kamu tidak pernah merasai nya sendiri,” luahnya.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan menghidap kenser Limfoma tahap empat pada 2017.

Elyana dan Khairul Anuar mendirikan rumah tangga pada 2010 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Cinta Sumayyah, 10, dan seorang anak angkat, Cahaya Ramadani yang kini berusia 2 tahun.
#Elyana #Kanser #Luahan Hati #Kanser Limfoma #Kanser Tahap Empat
;