Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Murah Rezeki Dalam Dunia Seni, Cik B Tak Guna Kabel Vida - "Saya Lebih Selesa Berdiri Atas Kaki Sendiri"

Zulaikha Yusof
12/04/2021 06:50 MYT
Nama penyanyi dan pelakon Cik B, 16, sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umum.

Cik B akui populariti yang diperoleh sekarang ini merupakan hasil usaha ibunya usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang kerap kali memuat naik foto dan videonya di Instagram (IG).

Namun, pemilik nama Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin ini menafikan dakwaan yang mengatakan dia menggunakan kabel ibunya untuk terjun dalam dunia seni.

"Saya tidak mampu menidakkan, populariti yang diraih atas bantuan mama. Jika tidak kerana mama, tiada siapa yang mengenali saya.

"Walaupun sekarang saya lebih dikenali berbanding mama, itu tak menjadi masalah. Pada masa sama, saya juga menjadi salah satu pemasaran untuk jenama mama.

"Ada juga mendakwa disebabkan kekayaan mama, saya mudah mendapat tawaran lakonan dan menyanyi kerana mama mempunyai kabel.

"Sedangkan, segala tawaran yang diterima bukanlah melalui mama, sebaliknya hasil usaha saya. Jujurnya, saya lebih selesa berdiri atas kaki sendiri," katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Tolonglah menyatakan dia agak tertekan serta berasa kecewa kerana nyanyiannya mendapat kecaman netizen.

Enggan terlalu lama bersedih, anak muda yang berasal dari Ipoh ini bangkit dengan ingin membuktikan dia mampu menyanyi dengan baik.

"Saya sedar ramai mengecam suara saya menyanyi rap. Saya ada tanya pendapat mama mengenai suara saya. Mama kata suara saya sedap. Tetapi mama meminta saya menurunkan berat badan jadi lebih mudah untuk menyanyi.

"Mulanya saya agak tertekan apabila dikecam, tetapi saya tidak pendam perasaan kecewa terlalu lama.

"Sebaliknya saya mahu membuktikan saya mampu menyanyi dengan baik dan memperbaiki kekurangan diri," katanya lagi.

Cik B ditemui ketika majlis pelancaran Program Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Pada tahun ini, Cik B menjadi sebahagian daripada 'Skuad Lembaran Baharu', yang turut terdiri daripada Alif Satar, Elly Mazlein, Radin ERA, Dina Nadzir Sinar, Shah Gegar, Isha Norsham dan pasangan karakter animasi Islamik popular, Omar & Hana selaku duta.

BACA: Ada 'N To N', 'Jejak Ebit Lew' & 'Ramadan Pertama Edi' ... Astro Saji 100 Rancangan Menarik Sempena Ramadan & Raya 2021

"Rasa bangga juga kerana dalam usia sekarang, saya diberi peluang menjadi duta untuk kempen terbaharu Astro ini.

"Saya tahu, tak ramai golongan remaja hari ini yang menonton televisyen. Kebanyakan mereka lebih banyak menghabiskan masa di media sosial.

"Jadi, sebagai remaja saya akan gunakan platform digital untuk mempromosikan kempen ini di samping berkongsi mengenai program sepanjang Ramadan bersama mereka," kata peserta program Muzikal Lawak Superstar.


#Duta #Berlakon #Menyanyi #Vida #Cik B #Kabel #Kempen Ramadan Raya 2021
;