Mural Tree of Hope, Lokasi Instagrammable Terbaru Di Kuala Lumpur!
Pelukis tempatan Fadzlan Rizan Johani melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menyiapkan lukisan mural terbesar di Malaysia yang dihasilkan secara perseorangan.
Lukisan mural yang terletak di Indah UPC berhampiran Vivo Residential Suites di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur ini bersaiz 1,950 meter persegi dan menjadi mural terbesar di Malaysia yang pernah dihasilkan oleh pelukis individu.
Memetik laporan Harian Metro, Fadzlan mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk menyiapkan keseluruhan mural.
“Saya mengambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk menyiapkan keseluruhan mural ini yang bermula April 2019 dan siap Januari 2020.
“Syukur, penat lelah selama berbulan ini terbayar dan inilah hasil mural bertema Tree of Hope yang banyak menonjolkan pokok sawit dan alam semula jadi,” tuturnya kepada Harian Metro.
Menggunakan 250 liter cat untuk menyiapkan secara keseluruhan hasil seni tersebut, rutin mengecat Fadzlan bermula seawal pagi iaitu selepas Subuh dan akan berhenti rehat pada jam 2 petang. Kemudiannya akan menyambung semula selepas Asar sehingga 3 pagi.
Hasil tinjauan Gempak di ruangan Facebook Fadzlan, rata-rata netizen memberikan reaksi positif terhadap hasil seni pelukis itu.
Malah, ramai juga yang tidak sabar melawat mural tersebut untuk bergambar.