Berita

Murninya Hati! Kelab Motosikal Ini Gotong-Royong Masak Makanan Buat Frontliner, Gelandangan & Pelajar

gempak
Syafiqah Jalal
29/03/2020
13:17 MYT
Sponsor Banner
Murninya Hati! Kelab Motosikal Ini Gotong-Royong Masak Makanan Buat Frontliner, Gelandangan & Pelajar
Simpati dengan nasib petugas barisan hadapan dan mereka yang terpaksa bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kelab motosikal Adipati Bertiga tampil memberikan sumbangan makanan kepada yang terbabit.
Menariknya, Adipati Bertiga yang terdiri daripada 40 orang ahli bertungkus lumus menyiapkan semua bungkusan makanan secara bergotong-royong.
Ketua Kelab Adipati Bertiga, Muhammad Hanif Sulhi Hassan berkata, inisiatif itu baru sahaja dimulakan sejak PKP lalu selepas menerima rungutan dari pelajar institusi pengajian tinggi yang tidak mempunyai makanan apabila keadaan mulai runcing di sekitar Lembah Klang.
Bermula dengan itu, kelab tersebut meneruskan sumbangan makanan pula kepada petugas hospital, pengawal keselamatan serta gelandangan.
Ikuti temu bual khas Gempak bersama Hanif mengenai kerja amal yang dilakukan mereka:
1. Boleh cerita sedikit mengenai Kelab Adipati Bertiga ini?
Berbeza dengan kelab motosikal lain di Malaysia, Adipati Bertiga mengenengahkan konsep "Merayakan Nusantara". Adipati yang dipinjam daripada perkataan Indonesia, membawa maksud raja atau pembesar daerah.
Bertiga dinamakan sempena penglibatan tiga ahli awal penubuhan Kelab Motosikal Adipati Bertiga pada 28 Mei 2019 di Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail.
Setiap kepala yang pada logo melambangkan karakter ahli Adipati Bertiga. Garuda, monyet serta ular membawa maksud tersendiri namun terpulang kepada individu dalam menentukan maksud tersirat.
Kini Adipati Bertiga telah berkembang melebar sayap dengan kekuatan ahli seramai 40 orang dan disokong oleh Masyarakat Adipati seramai 255 orang.
2. Bagaimana boleh terlibat untuk memberi sumbangan kepada frontliner yang bertugas?
Ini merupakan kerja amal pertama kami. Kalau dikira, baru sembilan hari.
Kami terdetik untuk membantu apabila melihat rungutan pelajar-pelajar IPTA yang tidak mempunyai makanan apabila keadaan mulai runcing di sekitar Lembah Klang.
Lalu kami terfikir untuk buat one-off charity dengan memasak makanan malam untuk mereka.
Setelah itu, dengan wang yang ada, kami terus bersepakat untuk membantu sedaya yang boleh dengan membekalkan makanan kepada petugas kelompok hadapan dalam menangani wabak membunuh ini.
4. Siapa antara pihak atau frontliner yang mendapat sumbangan itu?
Antara mereka yang sempat kami bantu adalah petugas hospital (Hospital Sungai Buloh, HKL, HUKM, KPJ, Klinik Kesihatan TTDI, Hospital Serdang, dan akan datang adalah Hospital Klang serta PPUM),PDRM, pekerja am seperti Alam Flora, pengawal keselamatan, rakan media dan tidak ketinggalan mereka yang memerlukan seperti gelandangan dan pelajar.
5. Bagaimanakah penyediaan makanan dan sumbangan?
Sumbangan yang kami berikan dengan bantuan orang ramai setakat ini adalah makanan tengah hari dan makan malam.
Semua makanan dimasak oleh saya sendiri dibantu oleh beberapa ahli kelab yang tinggal berhampiran rumah saya. Ini pertama kali kami memasak dalam kuantiti yang besar (100-300 bungkusan)
7. Dari manakah dana yang Adipati Bertiga terima?
Sejak hari pertama kerja amal, sumbangan diterima daripada kelab-kelab motosikal setempat dan perseorangan.
Motto kami adalah “Selagi ada sumbangan, kita jalan!”
8. Bagaimanakah sumbangan itu disampaikan?
Pada awalnya kami menghantar sendiri makanan kepada petugas-petugas kelompok hadapan ini.
Namun kami merasakan adalah lebih selamat jika kami hanya menumpukan perhatian kepada masakan lalu menggunakan khidmat runner daripada kalangan komuniti kelab kami iaitu Masharakat Adipati.
Dengan ini, lebih selamat dan bersih kerana mereka hanya perlu datang dan mengambil bungkusan makanan lalu terus menghantar kepada frontliners.
9. Melihat kepada pengorbanan frontliner ketika penularan wabak Covid-19 ni, apa perasaan dan harapan Hanif?
Melihat kepada kesungguhan dan pengorbanan mereka yang harus bekerja tanpa mengira masa dan berjauhan dengan keluarga, saya faham waktu makan mungkin adalah perkara terakhir yang menjadi rutin harian mereka.
Justeru, dengan membekalkan makanan masakan rumah, kami ingin mereka merasai dan menikmati makanan yang mungkin dirindui mereka dalam waktu genting ini.
Saya harapkan wabak ini lekas berakhir agar mereka dan kita semua dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing seterusnya menjalani kehidupan normal
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live