Penyanyi Andi Bernadee tidak mahu isu mengenai lagu Lelaki Di Telefon nyanyian Afieq Syazwan yang didakwa netizen mempunyai persamaan dengan lagu Satu Peluang dan Donde, dipanjangkan.

Andi ketika ditemui Gempak berkata, lagu mereka dikatakan sama mungkin kerana rentak reggaeton yang digunakan.

Katanya dia memandang perkara tersebut dari sudut positif dan tidak pernah terfikir tentang ciplak-menciplak atau meniru.

“Tak ada isu menirulah...Saya seronok kerana rentak reggaeton semakin berkembang dan semakin diterima.

“Muzik itu universal, jadi saya tak rasa pun Afieq meniru lagu saya. Lagipun sesiapa pun boleh bawa lagu rentak reggaeton, bukan terhad kepada saya seorang sahaja,” katanya.

Andi berkata demikian ketika ditemui selepas melawat gudang operasi jenama selipar terkenal tempatan, Fipper pada petang Selasa.

Bagaimanapun kata Andi, dia berharap agar irama reggaetón diperluarkan lagi dan diteroka dengan lebih jauh.

“Irama reggaetón ini sebenarnya masih boleh diteroka dan diperluaskan lagi mengikut kreativiti masing-masing supaya tidak sama dengan yang sudah sedia ada sekarang.

“Sebenarnya irama reggaetón tidak terikat dengan rentak yang sama sahaja. Jadi berbalik kepada isu Afieq mungkin sebelum ini orang dah dengar saya yang menyanyikan lagu genre tu dan orang terus assume lagu kami sama.

“Apa pun terima kasih kepada yang menghargai lagu reggaetón dan berpendapat saya sebagai trendsetter genre itu di Malaysia,” katanya positif.