Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Muzik Video Ragaman Trending #1, Faizal Tahir Nafi Kisah Rumah Tangga Sendiri Jadi Inspirasi Lagu Baru

Kamaruddin Razal 02/10/2018 | 21:23 MYT
Single terbaru Faizal Tahir, Ragaman bercerita mengenai kisah seorang suami yang sabar melayani kerenah isteri yang bermacam-macam ragam.
Mendapat inspirasi dari kisah realiti rumah tangga yang pernah disampaikan kepadanya, Faizal menafikan bahawa Ragaman adalah berdasarkan kisah rumah tangganya sendiri.
"Ragaman merupakan cetusan imaginasi dan idea dari kisah realiti rumah tangga yang pernah disampaikan kepada saya. Dalam masa yang sama, saya turut mengambil inspirasi kisah yang digambarkan dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee," kata Faizal.
Muzik video Ragaman yang baru dimuat naik di saluran YouTube Faizal Tahir pada 27 September yang lalu sudah mencecah lebih sejuta tontonan dalam tempoh 72 jam dan berada di kedudukan #1 carta trending YouTube Malaysia.
“Mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu dan juga video muzik Ragaman mudah tetapi sering dilupakan. Walau ragam atau kerenah pasangan kita itu banyak dan pelbagai, kita harus banyak bersabar, belajar memahami dan bertolak ansur.
"Kalau kita dah berjanji untuk sehidup semati, memang kena beri sehabis baik dan sedaya upaya untuk menunaikan janji itu," katanya lagi.
Video muzik rasmi arahan Azhar Ismail ini turut menampilkan pelakon wanita popular, Nabila Huda Suhaimi yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28.
Ragaman merupakan single terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. Ragaman boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.
#Penyanyi #Faizal Tahir #Penyanyi
;