Hiburan
Muzik Video Single Terbaru Neon Band Dapat Sentuhan Umie Aida
Pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida memberi sentuhan sebagai pengarah dalam muzik terbaru single ketiga kumpulan muzik Neon Band yang berjudul Kaca.
Single ketiga itu dianggap cukup istimewa kerana buat pertama kalinya mereka tampil dengan muzik video.
Sebelum ini, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2017 itu pernah muncul dengan dua single yang bertajuk Cinta Yang Telah Mati dan Hingga Akhir Nanti.
Dianggotai oleh enam anak muda iaitu Ezwan Ariff selaku vokalis, Adam Svl (Gitar), Shafique Sharif (Gitar 2), Azuad Abdullah (dram), Danial Firdaus (keyboard) dan Naim Sapuan (bass), mereka mengakui tidak sabar untuk menanti penerimaan peminat terhadap muzik video itu.
"Dua single sebelum ini kami hanya ada video lirik saja. Kali ini, ia berbeza apabila syarikat rakaman iaitu Seventeen Eleven menerbitkan muzik video untuk lagu ciptaan sepenuhnya oleh Atiqah Noor ini.
"Sesuatu yang membanggakan buat kami juga apabila muzik video ini diarahkan oleh Umie. Ini pertama kali kami dapat berjumpa dan bekerjasama.
"Jalan cerita muzik video ini adalah hasil perbincangan bersama. Selepas Umie mendengar lagu ini, dia terus dapat gambaran mengenai jalan cerita yang ingin diketengahkan," kata Ezwan selaku vokalis.
Tambah Ezwan, penerbitan muzik video itu juga adalah percubaan pertama dirinya dan anggota lain berlakon yang dianggap cukup asing.
Meski berasa kekok, Neon Band berterima kasih kepada pelakon filem Dukun itu kerana banyak memberikan tunjuk ajar.
"Diakui memang sangat kekok. Ini pertama kali kami berlakon dengan jalan cerita seperti drama. Apa boleh dikatakan, bukan mudah menjadi pelakon.
"Bekerja di bawah arahan Umie agak menakutkan. Dia seorang yang sangat berbakat dan terkenal.
"Memandangkan kami tak boleh berlakon, apatah lagi saya yang terbabit dalam banyak babak, dia memang tegas.
"Kami cuba juga buat apa yang diinginkan. Selagi tak betul, kami akan buat.
"Sepanjang hampir dua hari penggambaran, dia tak pernah menjerit, tapi dia jelingkan saja," seloroh Ezwan.
Berkongsi mengenai lagu itu, Ezwan berkata sambutan dan maklum balas diberikan sangat menggalakkan.
"Lagu ini dilancarkan sebelum Ramadan lalu. Alhamdulillah, ia sudah dimainkan di stesen radio tempatan.
"Berbanding dua single sebelum ini, dari segi penerimaan dan komen, ia lebih positif dan diterima.
"Kalau dengar bunyi dan muzik lagu ini pun, ia berbeza dengan single sebelum ini.
"Alhamdulillah, ramai suka. Bukan saja peminat, kami juga berharap lagu ini boleh pergi jauh. Kalau boleh nak masuk Muzik Muzik, seterusnya Anugerah Juara Lagu," katanya.