Anggota kumpulan Heart, Ezad Lazim mengakui bersyukur apabila masih ada orang yang menyokongnya dalam program Muzikal Lawak Superstar (MLS) sehingga minggu kelima.

Menurut Ezad, dia bersyukur apabila diberikan peluang untuk bergandingan dengan dua lagi anggota kumpulan yang lain iaitu vokalis Caliph Buskers, Azmi dan pelawak, Danial.

"Alhamdulillah, kumpulan kami masih bertahan lagi dan ada juga turun naik dalam persembahan kami pada setiap minggu.

"Sebenarnya kekuatan kami terletak pada Azmi kerana dia mempunyai bakat dan kesungguhan untuk bergelar seorang pelawak sehingga pada setiap minggu dia akan dilihat paling menyerlah.

"Kami sahaja letakkan dia sebagai pelawak utama dalam kumpulan ini kerana pada dirinya itu ada banyak benda yang boleh di explore.

"Ini kerana kekuatan dia ada pada kekurangan fizikalnya yang buatkan orang ternanti apa yang ingin dilakukan oleh Azmi pada setiap minggu," katanya kepada Gempak.

Ezad berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Exists Reunion, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MLS bersiaran selama 10 minggu, setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Untuk mengundi bintang, undian boleh dilakukan secara:

1.Undian boleh dilakukan di gempak.com/muzikallawaksuperstar

2.Taip MLSNAMA KUMPULAN atau MLS (3/5/10/20)NAMA KUMPULAN untuk (3/5/10/20) undian ke 32777.

Untuk perkembangan terkini program Muzikal Lawak Superstar, layari www.gempak.com/muzikallawaksuperstar.