Nama Sophia Liana semakin menyerlah selepas menjuarai program Dansa Dan Sing (DDS) terbitan Astro pada Januari lalu, sehingga berjaya membina jenamanya sendiri.

Penyanyi rap wanita yang mesra disapa Sophia ini mula bertapak dalam industri muzik tempatan sejak 2015 menerusi penampilannya bersama kumpulan, De Fam.

Ingin mencabar diri, Sophia cuba bergerak solo dan pernah berkolaborasi dengan beberapa artis tempatan sejak 2018.

Selepas lagu solo berjudul Ngam yang dilancarkan pada Mac, Sophia Liana kembali meraih perhatian apabila muncul dengan single terbaharunya Dulu pada 9 Oktober lalu.

Lagu yang diciptanya bersama Fadzril Asyraf ini, sudah mula mendapat reaksi positif pendengar yang menyifatkannya antara karya terbaik tempatan yang dikeluarkan pada tahun 2020.

Bagi meneruskan lagi momentum lagu ini, Sophia melancarkan video muzik rasmi Dulu pada 27 Oktober lalu.

Bercerita tentang konsep yang diterapkan dalam video muzik ini, pengarah Shimy Latif berkata, secara ringkasnya, konsep video muzik itu dibuat mengikut idea Sophia.

“Dia mahu memaparkan perasaan masa lalu dan masa kininya. Dan saya rasa sangat bersesuaian dengan inti pati utama lirik lagu Dulu.

“Dalam video muzik ini Sophia digambarkan sebagai wanita yang merenung kembali masa lalunya dalam perspektif yang lebih positif.

"Bagi Sophia pengalaman suka dukanya yang dahulu telah menjadikan dirinya yang sekarang. Lebih matang, kuat dan berkeyakinan,” katanya.

Sementara itu Sophia berkata, dia berharap agar menerusi video muzik tersebut pendengar dapat mendalami mesej dan merasai emosi yang cuba disampaikan dalam lagunya itu.

“Lagu ini diinspirasikan dari situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu. Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang. To move on is to let go of the past.

“Saya juga berharap lagu Dulu ini mendapat sambutan positif pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini, boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu sudah pun berlalu.

“Dan yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari-hari mendatang,” kata juara Dansa Dan
Sing ini kepada Gempak.

Video muzik rasmi Dulu sudah boleh dilayari di saluran YouTube Sophia Liana dan single Dulu boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer.