Selepas dua hari muzik video lagu Tinggalkan Diriku nyanyian Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dimuat naik di saluran YouTube Shuib Channel, lagu tersebut telah mencecah lebih satu juta tontotan.

Tinjauan Gempak di saluran YouTube Shuib Channel, muzik video tersebut telah menerima hampir 3,500 komen daripada pendengar.

Rata-rata meluahkan rasa sebak selepas mendengar perbualan terakhir Siti Sarah dengan Shuib, yang tidak putus memberikan kata-kata semangat sebelum Allahyarham ditidurkan.

Antara kata-kata terakhir Siti Sarah yang paling menyentuh perasaan apabila Allahyarham menegur Shuib supaya jangan menangis.

“Ibu, sumpah…I memang sayang you sangat…,” kata Shuib menahan sebak.

“Jangan menangis, jangan sedih daddy…Ampunkan dosa-dosa I ya..,” jawab Sarah sebelum mengucapkan ‘I love you’ kepada Shuib.


Lagu Tinggalkan Diriku yang versi muzik video ini, merupakan nyanyian Siti Sarah ketika sesi latihan untuk 'Showcase Siti Sarah' yang diadakan pada tahun 2018.

Shuib ketika ditemui Gempak pada majlis Akikah, Cukur Jambul dan Doa Selamat awal bulan lalu berkata, rakaman tersebut dibuat secara spontan dan tidak dirancang.

“Masa rehearsal tu, kita rakam momen tersebut suka-suka sahaja. Tetapi nyanyiannya ketika itu penuh perasaan.

“Selepas Allahyarham pergi, salah seorang teman kami forwardkan video itu dan bila saya dengar balik dah hayati bait-bait lirik tu…ia sangat indah dan buat saya terkenang sehingga sekarang.

“Tidak sangka rakaman tersebut disimpan oleh teman kami itu sehingga hari ini dan daripada situ saya fikir kenapa tidak kita abadikan dan jadikan ia memori yang lebih indah,” katanya.

Sebagai informasi, lagu ini dirakamkan pada tahun 2002 dan dirilis pada 2003 melalui album Mimpi Pun Sama.
Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan Covid-19.

Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Ayash, Allahyarham meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.