Bukan hanya menjaga keselamatan orang awam, sikap prihatin anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu menyelamatkan seekor anjing yang terperangkap dalam sebuah longkang besar mendapat perhatian netizen.

Aksi Koperal (F) Azad Azady Mohamad Tarmizee itu tular di media sosial sejak dimuat naik sejak minggu lepas.

Kata Azad Azady, dia segera turun ke dalam longkang itu selepas mendapati haiwan berkenaan cuba naik ke atas tebing longkang tersebut dengan mengaiskan kakinya.

"Niat saya memang nak selamatkan anak anjing tu, jadi saya terus terjun dalam longkang bila terdengar bunyi anjing itu mengais kakinya untuk naik ke atas," ujar anggota berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Menurut Azad Azady, ketika kejadian itu dia baru sahaja dua jam memulakan tugas pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Jalan Keluli, Seksyen 7, Shah Alam.

Dia sendiri tidak menyangka gelagatnya menyelamatkan seekor anak anjing itu tular sejak ia dimuat naik di laman Facebook, semalam.

Sehingga kini video berdurasi 1 minit 37 saat yang dimuat naik oleh rakan setugasnya, Koperal Ezam Ramli itu telah ditonton lebih 490,000 kali, mendapat 29,000 likes, serta 6,000 komen dan sudah dikongsi lebih 24,000 pelayar laman sosial itu.


"Saya terkejut bila kawan-kawan mula menghubungi saya bertanyakan tentang video malah ada juga mengucapkan tahniah, baru saya tahu video itu telah viral," tambahnya.

Dalam video berkenaan, memaparkan anggota polis berkenaan masuk ke dalam sebuah longkang yang berair sedalam kira-kira dua meter untuk mengangkat anak anjing itu ke atas tebing.

Tindakan spontan anggota berkenaan ternyata mendapat perhatian dan pujian daripada netizen terhadap keprihatinan yang ditunjukkannya itu.

Itu bukan kali pertama Azad Azady menyelamatkan anak anjing yang terperangkap dalam longkang.

"Saya dah dua, tiga kali buat macam tu (selamatkan binatang). Sebab tempat tak ada orang, jadi saya selamatkanlah," jelasnya.
Wow! You’re the man! Anda memang hero! Kami di Gempak doakan semoga anda dimurahkan rezeki.
Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!

Sumber: Sinar Harian, Rojak Daily, Malaysiakini