Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham menarik perhatian wargamaya apabila berkongsi foto anggotanya mengendong seorang makcik cina yang uzur untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Menerusi laman sosial Facebook, Dr. Noor Hisham memuat naik foto tersebut dengan penuh rasa kagum dan bangga.

“Melayan setiap kehidupan tanpa mengira sempadan agama dan bangsa. Inspektor kesihatan kami, Shahir Razali mengendong seorang makcik cina yang uzur ke pusat pemeriksaan COVID-19.



“Berpuasa di bulan Ramadan dan berkhidmat sambil mengenakan baju PPE, andalah hero yang sebenar Shahir Razak dan Mastura Maznor. Anda betul-betul melambangkan slogan Kementerian Kesihatan, “Kami Sedia Berkhidmat”. Sangat bangga dengan anda berdua, terima kasih,” tulisnya sebagai kapsyen.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, rata-rata memuji khidmat bakti dua inspektor kesihatan itu

Wargamaya turut meninggalkan pelbagai kata-kata positif serta mengakui mereka berdua layak diberi pengiktirafan.

“Saya menangis bila melihat foto ni. Dengan puasa lagi, panas.. memang rakyat Malaysia semulia ini,” kata seorang wargamaya.



“Terima kasih Dr. Noor Hisham dan semua frontliners serta petugas kesihatan. Semoga Tuhan membalas jasa baik kalian,” komen seorang wargamaya.

“Alhamdulilah,inspirasi kebaikan. Selayaknya diberikan pengiktirafan,” puji seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, hantaran Dr. Noor Hisham itu telah mendapat hampir 35,000 tanda suka dan 2,500 perkongsian daripada warga Facebook.

Kepada inspektor kesihatan Shahir Razak dan Mastura Maznor, anda berdua memang hero.

Kami di Gempak sentiasa mendoakan kesejahteraan frontliner dan individu yang bertugas ketika penularan wabak COVID-19.

Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', amalkan penjarakan sosial serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19.