Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

#MYHero: Macam Kisah Disney, Lelaki Ini Selamatkan Anjing Terbiar Ketika PKP & Lihatlah Apa Yang Berlaku

Amri Hassan
13/04/2020 05:12 MYT
Siapa sangka daripada anjing yang dibuang tidak bertuan akhirnya bertemu pemilik baru untuk berkongsi kasih sayang.

Lionel Keith Vytialingam, menemui anjing jenis goldendoodle yang diberi nama Siggy itu di tepi jalan sekitar Ipoh, Perak ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Atas rasa ehsan, Lionel membawa pulang anjing itu ke kediamannya untuk dibersihkan.

"Dia benar-benar mesra, sebelum ini pun saya ada mengambil anjing terbiar di tepi jalan tetapi ini kali pertama bertemu dengan seekor anjing yang sangat jinak.

"Cuma saya percaya dia berdepan anxiety dek kerana trauma ditinggalkan oleh tuan asal bersendirian," kata Lionel kepada Rojak Daily.



Lionel akhirnya membawa Siggy ke pusat penjagaan haiwan untuk mendapatkan bantuan lanjut.

"Dia tidak mahu makan, hanya minum air dengan banyak jadi saya membawanya untuk tindakan sepatutnya.

Terdahulu, Siggy yang dibiarkan bersendirian punyai kolar dan nota daripada tuan asalnya.

Dalam nota tersebut tertulis ucapan terima kasih kepada bakal tuan baharu Siggy.

"Tuan saya sudah tidak mampu untuk menjaga saya lagi. Saya minta maaf. Tolonglah bawa saya pulang ke rumah dan menjadi sebahagian daripada keluarga anda.

"Saya baik, saya tak pernah menggigit sesiapa dan akan setia duduk depan pintu pagar rumah anda untuk menjaga anda," tulis pemilik asal Siggy.



Lionel bagaimanapun terpaksa melepaskan Siggy kepada abangnya yang berada di Kuala Lumpur selepas tamat tempoh PKP.

"Di rumah saya sudah ada seekor anjing bernama Sammo dan saya ada penyakit asthma. 

"Siggy pula hampir bergaduh dengan Sammo yang badannya jauh lebih besar daripadanya. Jadi tidak ada alasan untuk tidak memberikan Siggy kepada abang saya," tambahnya.

Tidak menyalahkan pemilik asal Siggy yang membuangnya ke jalanan tetapi kata Lionel, pemilik haiwan peliharaan sepatutnya bertanggungjawab sekiranya tidak mampu membela mereka lagi.

"Kalau tak boleh bela cuba cari pemilik lain atau hantar ke rumah perlindungan dan badan bukan kerajaan yang menguruskan haiwan terbiar," tegas Lionel.



Wow! You’re the man! Anda memang hero! Kami di Gempak doakan semoga anda dimurahkan rezeki.
 
Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!
 
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!

Sumber: Rojak Daily
#Ipoh #PKP #Anjing Terbiar