Seorang anggota polis mencuri perhatian wargamaya apabila berkongsi makanan berbukanya dengan tiga ekor anak anjing.

Menerusi laman sosial Facebook, halaman Friends of PDRM berkongsi video tersebut untuk tatapan umum.

“Rezeki dikongsi bersama, selamat berbuka,” tulis pengendali akaun terbabit.



Menerusi video berdurasi kurang satu minit itu menunjukkan seorang anggota polis yang dikenali sebagai Koperal Zaidi sedang tunduk di bahu jalan Sungai Besi memberi makan kepada tiga ekor anak anjing yang kelaparan.

Hasil tinjauan Gempak di ruang komen, rata-rata wargamaya memuji tindakan anggota polis tersebut.

“Tabik abang polis. Bagi pencinta haiwan dia akan dapat rasakan satu perasaan yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata betapa rasa indahnya ketika melihat haiwan-haiwan yang kelaparan ni makan. Tak percaya cuba buat,” kata seorang wargamaya.

“Macam mana lapar dan dahaganya kita bila berpuasa, begitulah juga rasanya makhluk lain yang sekadar mampu mengharap ihsan kita. Semoga ia membawa kesedaran kepada insan lain supaya sentiasa mengasihani makhluk yang lemah,” luah seorang wargamaya.



“Dalam tak sedar, PKP ni telah mengajar kita apa erti menghargai antara satu sama lain. Semoga kita semua diberkati,” komen seorang wargamaya.

“Tengok ekor tu gedik-gedik je kan tanda suka sangat la tu. Terima kasih abang kasi makanan,” usik seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, video tersebut telah mendapat hampir 150,000 tontonan dan lebih 800 perkongsian.

Kepada Koperal Zaidi, anda memang hero!

Kami di Gempak sentiasa mendoakan kesejahteraan semua frontliner dan individu yang bertugas terutamanya dalam menentang penularan wabak COVID-19.

Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', amalkan penjarakan sosial serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19.