Sewaktu rakan-rakan seusianya yang lain mempunyai perancangan tersendiri selepas menamatkan pengajian, anak muda ini, Raja Muhammad Irfan Raja Muhammad Reduan memilih untuk melibatkan diri dengan aktiviti sukarelawan dalam membantu menyediakan baju perlindungan diri (PPE) buat frontliners.

Menurut Irfan, 21, dia mula melibatkan diri dengan menjahit PPE menerusi projek M-Protec yang dianjurkan oleh pihak Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) sejak lebih sebulan yang lalu.

"Saya baru habiskan pengajian. Jadi, saya rasakan daripada saya tidak buat apa-apa di rumah sementara menunggu konvokesyen, inilah masanya untuk saya sumbangkan sesuatu kepada frontliners kita.

"Jadi, setiap hari, saya bersama sukarelawan lain yang terdiri daripada alumni, pelajar dan pensyarah fesyen bersama-sama menghasilkan PPE untuk disumbangkan kepada pusat perubatan," katanya ketika dihubungi Gempak.



Ujar Irfan, hampir setiap hari mereka perlu menyiapkan sehingga 70 set PPE.

"Kami ada dalam 150 orang yang menjadi sukarelawan. Masing-masing ada pembahagian tugas. Macam saya, ditugaskan untuk menjahit.

"Pada mulanya kami hanya target 50 pasang sahaja, namun, atas permintaan tinggi, kami hasilkan 70 pasang sehari," katanya yang berulang-alik dari rumahnya di Klang ke kampus di Shah Alam setiap hari.



Katanya lagi, lazimnya, proses menyiapkan PPE itu akan bermula dari pukul 9 pagi sehingga ke pukul 6 petang.

"Saya memang akan datang hari-hari bersama rakan lain untuk bantu jahit baju PPE. Bahkan, jika mahu cuti, kami akan bergilir-gilir untuk elak daripada cuti serentak kerana akan mengganggu proses penghasilan.

"Cuma, pada bulan Ramadan ini, kita habis awal sedikit iaitu pada pukul 4.30 petang," ceritanya.

Apa yang pasti, sumbangan dan jasa yang diberikan oleh Irfan bersama rakan-rakannya dalam membantu barisan petugas hadapan kita ini sesuatu yang wajar dipuji.

Bagi pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!


Foto: Raja Muhammad Irfan