Sepasang suami isteri warga emas di Yan, Kedah mencuri tumpuan netizen apabila dikatakan hidup dalam keadaan daif dengan hanya tinggal di bawah rumah usang milik mereka.

Apa yang menyentuh hati, kisah lelaki yang dikenali sebagai Pakcik Adam, 94 dan isterinya itu apabila dia enggan menerima bantuan biarpun sudah didekati berkali-kali pihak berwajib di negeri tersebut.

Bagaimanapun, baru-baru ini, beberapa agensi kerajaan termasuklah petugas barisan hadapan telah membuat kunjungan ke kediaman pasangan tersebut.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, Mohd. Azrul Mohd. Razak dalam satu posting yang dimuat naik di akaun miliknya.

"Pagi ini saya bersama beberapa orang rakan, wakil dari Lembaga Zakat Negeri Kedah, wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak polis, beberapa NGO bersama penduduk kampung melawat keluarga berkenaan.

"Pakcik Adam sendiri yang enggan menerima apa-apa bantuan kerana katanya dia tidak layak menerima sebarang bantuan disebabkan dia mempunyai harta dan tanah. Hasil temubual dengan penduduk kampung juga mengesahkan hal ini.

"Pakcik Adam sendiri mengakui dia enggan dibantu dan tidak mahu berpindah walaupun telah beberapa kali ditawarkan bantuan oleh pelbagai agensi, katanya mereka selesa dengan kehidupan sekarang memandangkan tanah yang didiami adalah salah satu daripada beberpaa bidang tanah miliknya," tulisnya.



Bagaimanapun, menurut Mohd. Azrul, Pakcik Adam dan isteri kemudian berjaya dipujuk frontliners selain dibantu dibawa ke hospital bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Alhamdulillah, setelah hampir dua jam rundingan akhirnya Pakcik Adam akur untuk dibantu. Mereka telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan Insya-Allah rumah Pakcik Adam akan dibaiki dan sementara waktu ini mereka akan dijaga oleh saudaranya," katanya yang juga merupakan wakil Kindness Malaysia.



Menerusi beberapa foto yang dikongsikan, kelihatan Pakcik Adam dan isterinya dibantu petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menaiki ambulans.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada barisan petugas hadapan yang prihatin dengan nasib warga emas tersebut.

"Semoga kisah Atuk Adam ni, beri kesedaran kepada yang di luar sana. Jangan tipu-tipu info pasal diri sendiri semata-mata mahukan bantuan.

"Tahniah semua yang terlibat, bersungguh-sungguh mahu membantu," tulis sebahagian netizen.

Wow! Memang hebat frontliners kita dalam memujuk orang!

Bagi pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!



Foto: Facebook Mohd Azrul Mohd Razak