Bukan sahaja memikul tanggungjawab untuk membanteras jenayah namun tugas seorang polis untuk membantu orang dalam kesusahan.

Menerusi Facebook Polis Diraja Malaysia, sekumpulan Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Seri Alam iaitu Kpl Mohd Azwan bin Zainal, L/Kpl Muhammad Amirul Syafiq bin Hasan serta dua anggota bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menjumpai seorang wanita warga emas, 74, tersadai selepas tidak ingat jalan pulang ke rumah.

"Seorang wanita warga emas diselamatkan polis malam tadi apabila dia lupa jalan pulang selepas keluar membeli barang di Taman Scientex di Pasir Gudang.

"Wanita berusia 74 tahun itu diselamatkan anggota polis yang sedang melakukan rondaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira jam 9 malam," tulisnya.

Dalam satu entri di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam malam tadi, wanita itu ditemukan Koperal Mohd Azwan Zainal dan Lans Koperal Muhammad Amirul Syafiq Hasan dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV).

Wanita berkenaan ditemukan bersendirian di kaki lima deretan kedai berhampiran sebuah pasar raya bersama beberapa beg plastik berisi barang keperluan.

"Anggota terbabit menghampiri wanita warga emas berkenaan ini dan bertanyakan jika mengalami masalah dan mendapati wanita ini terlupa jalan pulang selepas membeli barangan keperluan.

"Wanita itu tinggal berseorangan dan selepas membeli barangan keperluan dari pasar raya itu, dia kepenatan dan terlupa jalan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira lapan kilometer dari situ," tulisnya lagi.

Anggota polis berkenaan berjaya menemui alamat wanita warga emas melalui satu kad rawatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang dibawanya.

Anggota berkenaan menghantar wanita itu pulang ke rumahnya dan mendapati dia tinggal berseorangan.



Perkongsian yang dimuat naik itu mendapat reaksi daripada warganet yang rata-rata memuji tindakan mulia anggota polis terbabit.

Anda memang hero! Kami di Gempak sentiasa mendoakan kesejahteraan frotliner yang bertugas.

Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!