Seorang pemilik akaun Facebook (FB) menggunakan nama profil Alan Chang yang juga pemilik rakaman ‘budak tercampak daripada kereta’ tampil memberi penjelasan mengenai kejadian tersebut.

Alan berkata dalam kejadian di Kilometer 235.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Pedas Linggi dekat Rembau, dua buah kereta dilihat sedang berlumba dan salah sebuah daripadanya telah melanggar kenderaan dinaiki kanak-kanak berusia dua tahun itu.

"Saya adalah pemilik dashcam untuk kejadian semalam. Sila abaikan tarikh dashcam sebab saya tidak set tarikh.

"Kejadian sebenar adalah sebuah Jazz biru yang berlumba dengan Myvi putih. Myvi putih lepas tu pecut ke lorong paling kanan dan kembali ke lorong ketiga dan melanggar (Honda) Civic menyebabkan budak dalam Civic itu tercampak keluar kereta.

"Ini video penuh utk menjelaskan kejadian semalam. Thank you," jelas Alan di FB JB TRACER: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Service Report.

Kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan ringan dan dirawat di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Dalam perkembangan terkini, polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu Perodua Myvi putih dipercayai individu terbabit dalam kemalangan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, lelaki terbabit ditahan di Batu Berendam, Melaka pada 4.50 petang hari ini (Selasa).

“Susulan siasatan lanjut, pemandu lelaki Perodua Myvi putih berusia 20 tahun yang tular di media sosial ditahan di Batu Berendam, Melaka pada 4.50 petang tadi.

“Reman akan dipohon untuk meneruskan siasatan lanjut.

“Selain itu, pemandu Honda Jazz biru iaitu lelaki berumur 23 tahun sudah tampil membuat laporan polis. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang membantu polis sehingga berjaya menahan individu berkenaan.

Terdahulu tular sebuah klip video menerusi ‘dash cam’ dimuat naik pengguna lebuh raya memaparkan seorang kanak-kanak lelaki di atas jalan di lorong laju lebuh raya selain beberapa pengguna lain menghentikan kenderaan mereka dan menyelamatkan kanak-kanak itu.

Kejadian sekitar 3.40 petang melibatkan tiga buah kereta masing-masing sebuah Honda Civic dan dua buah Perodua Myvi itu menjadi tular di laman sosial menerusi rakaman video berdurasi seminit.