Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin tampil menjelaskan mengenai dakwaan serta kekeliruan sesetengah pihak berkaitan makananan sunnah yang mampu menyembuhkan penyakit.

Menurut Asri, Nabi Muhammad SAW juga merujuk dan menerima pandangan pihak yang pakar dalam bidang perubatan ketika sakit.

Menurutnya, Nabi tidak hanya bergantung kepada makanan seperti habbatus sauda untuk sembuh.

“Apabila isteri nabi, Aisyah ditanyakan mengenai ilmu perubatannya, Aisyah menjawab dia belajar ilmu tersebut daripada wakil Arab yang datang mengajar bahan-bahan perubatan dan cara membancuhnya, ketika nabi sakit pada akhir hayat baginda.

“Maksudnya, nabi ini menerima perubatan yang dicadangkan oleh ahli perubatan.

“Nabi tak kata cukup dengan habbatus sauda, ini konsep yang salah.

“Habbatus sauda ni juga mengikut cuaca dan iklim negara, kadang-kadang cadang orang makan segenggam memang panas la badan kita.

“Bila mari kepada wabak, ia perlu merujuk pada pakar,” katanya.

Menurut Asri lagi, nabi juga merujuk sahabat-sahabat yang sakit kepada seorang pakar perubatan yang dikatakan bukan beragama Islam.

“Sebab apa, sebab itu adalah bidang dia. Nabi tidak kata, apalah kamu cari Al-Harith ibn Kaladah, cukup dengan habbatus sauda sahaja.

“Nabi tidak kata semua makan habbatus sauda, air zamzam, dengan madu, cukuplah. Kalau tidak, tidaklah berkembang dunia perubatan Islam,” katanya.

Tambahnya, kadang kala jenama yang menggunakan nama ‘makanan sunnah’ ini telah disalah guna.

“Sehingga memberi orang keliru tentang bahan-bahan.

“Masalahnya kemudian dia sandarkan pula pada agama, jadi kena berhati-hati,” katanya.

Dr Asri berkata demikian pada sesi bual bicara Vaksin: Cegah Sebelum Kalah dalam Forum Perdana Hal Ehwal Islam yang disiarkan baru baru ini.

Forum tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Mohamad.

Menurut Zulkifli, dia telah mendapatkan pandangan ulama terkemuka tentang hukum pengambilan vaksin, termasuk Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed el-Tayeb, Mufti Mesir Shawki Allam dan Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah.

"Berfatwa bersandarkan kepada rujukan pakar kesihatan bagi memastikan vaksin ini (vaksin Covid-19) selamat dan halal digunakan," katanya.

Terdahulu, kecoh mengenai tindakan beberapa netizen yang menolak penggunaan vaksin sebaliknya hanya bergantung kepada makanan sunnah seperti habbatus saudah.

Selain itu, bekas pelakon Zul Yahya juga mencetuskan perdebatan ramai apabila menyatakan umat Islam sudah lama memiliki vaksin.

BACA: “Betul Sunnah Mujarab Tapi…” - Netizen ‘Sound’ Zul Yahya Isu Habbatus Sauda & Madu Adalah Vaksin