Laman Utama
Nabila Huda Mohon Selebriti Berhenti Sakitkan Hati Masyarakat
Pemenang Pelakon Wanita Terbaik, Nabila Huda yang baru bebas dari COVID 19 memohon kepada masyarakat agar prihatin terhadap wabak atau pandemik yang semakin tidak terbendung di Malaysia kini.
Selain memperingatkan agar sentiasa bertimbang rasa dan jangan mementingkan diri serta patuh arahan yang dikeluarkan kerajaan, Nabila turut menegur segelintir sikap para selebriti yang kelihatan seperti tidak sensitif dan kebal sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.
Nabila mengatakan tatkala wabak COVID-19 masih memuncak di Malaysia, mereka yang bergelar selebriti atau pempengaruh ‘influencer’ perlu memainkan peranan dengan memberi contoh yang baik.
“Cukuplah menunjuk-nunjuk perkara-perkara yang menyakiti hati orang lain, perkara-perkara yang terlalu riak, kawal media sosial anda.
“Tidak perlu nak berkongsi perkara-perkara yang merepek-repek, semua perkara yang anda buat semuanya nak kongsi di media sosial yang menyebabkan orang ramai lebih membenci.
“Ini bukan masanya.
"Henti buat segala perkara yang membuatkan orang ramai membenci kita, menilai kita, padahal kita semua melalui perkara yang sama (COVID-19),” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Nabila yang baru sahaja selesai menjalani kuarantin kendiri disebabkan positif jangkitan COVID-19 berkata demikian dalam temu bual Stars@AWANI yang disiarkan di Facebook dan YouTube Astro AWANI, jam 11 pagi ini.
Anak kepada legenda rock tanah air, Amy Search itu berpandangan, selebriti atau pempengaruh -- tidak kira jumlah pengikut di media sosial -- perlu menggunakan segala medium yang ada untuk memberi kesedaran dan perkara positif kepada masyarakat.
“Kepada para selebriti atau ‘influencer’, mula gunakan instagram anda, tidak kira pengikut anda ramai atau tidak, kongsikan kesedaran berkaitan COVID-19 ini serta apa yang wajar dilakukan.
“Tiba masanya untuk kita gunakan platform media sosial ke arah yang lebih baik dan untuk orang menyayangi kita, dan orang akan hormat kita disebabkan kejujuran dan keperibadian kita.
“Saya harap ini akan membantu semua, kerana apa yang saya katakan ini adalah dari hati saya, pandangan saya,” ujarnya.
Nabila pada masa sama memohon maaf kepada rakan-rakan selebriti lain terasa hati dengan teguran tersebut.