Nabila Razali Bakal Bekerja Di Hari Raya

Kamaruddin Razal
Jun 14, 2018 07:11 MYT
Penyanyi Nabila Razali bakal mengalami pengalaman raya berbeza pada tahun ini.
Gadis yang terkenal dengan lagu Pematah Hati ini akan memenuhi persembahan nyanyian pada 1 Syawal di salah sebuah kompleks membeli belah di Sepang.
"Saya rasa seronok untuk menjayakan persembahan tersebut. Ini merupakan pengalaman pertama saya bekerja ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Saya rasa teruja kerana ingin merasakan pengalaman terbabit. Lagipun, saya mahu merasakan bagaimana agaknya bertugas ketika orang lain menyambut lebaran," kata Nabila.
Sibuk dengan jadual seharian sebagai penyanyi, Nabila gembira dengan perubahan kerjayanya.
"Jika dahulu terdetik dalam hati saya, kenapa saya tiada tawaran nyanyian sehinggakan tiada penganjur mahu memanggil saya?
"Selepas muncul dengan Pematah Hati, ternyata lagu terbabit membawa tuah kepada saya. Kini, jadual saya sibuk dan terisi dengan undangan persembahan sana-sini, Alhamdulillah," katanta ketika ditemui di majlis iftar anjuran kelab peminat Nabila, Nabaela FC baru-baru ini.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Nabila
#Penyanyi #Penyanyi #Nabila Razali