BERITA
Nabila Razali Belum Bersedia Untuk Berkahwin, Tapi…
Penyanyi Nabila Razali akui tiada perancangan untuk berkahwin walaupun usianya kini menginjak 27 tahun.
Menurut Nabila, dia kini mahu mengejar impiannya sebagai anak seni sebelum mendirikan rumah tangga.
“Saya tiada menjalinkan hubungan dengan sesiapa. Cuma saya akui ada berkawan dengan ramai orang.
“Terus-terang buat masa ini saya tiada perancangan untuk berkahwin kerana fokus saya sekarang adalah kerjaya saya.
“Namun jika jodoh itu sampai saya tidak mampu menolaknya,” katanya kepada Gempak.
Nabila ditemui ketika majli pembukaan restoran A&W di EkoCheras Mall, pagi tadi.
Pelantun lagu Vroom Vroom itu berkata dia kini mahu melebarkan bakat seninya sementara masih diperlukan.
“Saya sedar, kerjaya saya bergerak agak lambat berbanding rakan-rakan saya dalam Akademi Fantasia 2013.
“Baru kini, nama saya mula dikenali ramai dan saya tidak akan melepaskan peluang ini.
“Saya mahu mengembangkan lagi bakat saya bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah lakonan serta pengacaraan,” katanya lagi.
Nabila kini sedang menjalani penggambaran untuk sebuah telemovie Cik Reen Encik Ngok Ngek Raya yang bakal ditayangkan di salah satu stesen di Astro.