Hiburan
Nabila Razali Gementar Bergandingan Dengan Alif Satar
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013, Nabila Razali akui gementar apabila diberi tanggungjawab untuk bergandingan dengan Alif Satar.
Nabila dan Alif dipadankan untuk memegang watak utama dalam drama bersiri terbaru, Hikayat Cinta Si Pematah Hati.
"Secara jujur, saya sangat gementar kerana ini merupakan drama bersiri pertama lakonan saya. Perasaan itu bertambah kerana saya bergandingan dengan Alif.
"Alif merupakan seorang pelakon dan penyanyi yang berpengalaman. Lakonannya dalam drama bersiri Dia Semanis Honey masih menjadi sebutan ramai sehingga kini.
"Saya berjaya mengawal perasaan itu dan menyahut cabaran untuk bergandingan dengan Alif.
"Saya tak sabar menantikan hasil lakonan kami yang bakal menemui penonton bermula 24 April ini," kata Nabila kepada Astro Gempak.
Membawakan watak Wafeen Wardah dalam drama bersiri adaptasi novel karya Eman Sufi, Nabila terpaksa bermain dengan emosi.
"Karakter Wafeen Wardah mencabar bagi saya kerana saya harus bermain dengan banyak emosi. Terima kasih kepada pengarah drama bersiri ini, Shalini Balasundram serta pelakon-pelakon lain yang sering memberi tunjuk ajar kepada saya.
"Mereka memberikan banyak input agar saya dapat membawakan watak Wafeen Wardah dengan baik. Saya berharap drama bersiri ini mendapat sambutan ramai," katanya lagi.
Selain Alif dan Nabila, Hikayat Cinta Si Pematah Hati turut membariskan pelakon lain seperti Hafreez Adam, Yaya Zahir, Nadiyah Shahab dan ramai lagi.
Drama bersiri ini akan mula bersiaran pada 24 April jam 10.00 malam, setiap Isnin hingga Khamis hanya di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video