HIBURAN
Nabila Razali Jemput Peminat, Rakyat Kelantan Ke Majlis Akikah Baby M - "Kami Pilih 7 Jun Sebagai Tanda..."
Penyanyi dan pelakon wanita terkenal, Nabila Razali, bersama suami, Nik Iruwan Nik Izani bakal menganjurkan majlis istimewa sempena kelahiran putera sulung mereka, mesra dikenali sebagai Baby M, pada 7 Jun ini di Franky Corner, Kota Bharu, Kelantan.
Majlis yang dijadual berlangsung bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha itu akan disempurnakan sebagai Majlis Akikah dan Kesyukuran bagi meraikan kelahiran cahaya mata pertama pasangan ini.
Dalam semangat ibadah dan pengorbanan Zulhijjah, Nabila dan suami menzahirkan hasrat untuk berkongsi nikmat kebahagiaan ini bersama seluruh peminat, jiran tetangga dan rakyat Kelantan khususnya.
Untuk rekod, Nabila Razali selamat melahirkan anak lelaki sulungnya pada 23 Disember tahun lalu di sebuah pusat perubatan swasta di Lembah Klang.
Bayi yang diberi jolokan Baby M itu dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram dan dalam keadaan sihat sempurna.
Kehadiran zuriat pertama ini adalah detik paling membahagiakan dalam hidup pasangan tersebut yang melangsungkan perkahwinan pada 18 Disember 2023.
Menurut Nabila, majlis ini bukan sekadar upacara tradisi, tetapi juga simbolik kepada rasa syukur atas kurniaan Ilahi serta peluang untuk meraikan detik bahagia ini bersama peminat yang menjadi tulang belakang karier seninya selama ini.
"Alhamdulillah, Baby M adalah hadiah terindah dalam hidup saya dan suami. Menjadi ibu adalah fasa yang sangat mencabar tetapi juga sangat bermakna.
"Kami memilih 7 Jun ini sempena Hari Raya Aidiladha untuk mengadakan Majlis Akikah dan Kesyukuran sebagai tanda syukur dan berkongsi kegembiraan ini dengan peminat, saudara-mara dan penduduk setempat di Kelantan," katanya.
Nabila berkata, majlis diarakan di Kelantan kerana ia adalah kampung suami dan berharap majlis berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan mesra komuniti.
"Saya dan suami amat berbesar hati sekiranya anda semua dapat hadir ke majlis ini. Bukan sahaja untuk meraikan Baby M, tetapi juga untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita dalam bulan yang penuh rahmat ini. Terima kasih atas doa dan kasih sayang yang tidak pernah putus," katanya.