Hiburan
Nabila Razali Mohon Maaf Andai Ada Pihak Terguris Hati, "Saya Bekerja Sangat Keras Untuk Sampai Ke Tahap Ini"
Penyanyi dan pelakon Nabila Razali menyatakan dia telah berusaha keras untuk sampai ke tahap di mana dia berdiri sekarang.
Menurut Nabila, 28, dia tidak boleh mengabaikan mesej kecaman itu kerana kata-kata yang digunakan telah memberi kesan kepada dirinya.
"Ini bukanlah perkara baharu, tapi kali ini paling membuatkan saya sedih. Macam yang dikatakan, saya tidak pernah mempertikaikan rezeki orang lain.
"Saya bekerja sangat keras untuk sampai ke tahap ini. Ramai yang DM beri kata-kata semangat dan meminta saya untuk mengabaikan mesej sebegini tetapi sebagai manusia biasa tipulah kalau saya katakan tidak terkesan dengan komen berunsur kecaman dan ugutan ini.
"Kata-kata kesat yang dilemparkan sangat tidak boleh diterima oleh mana-mana individu pun," katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelantun lagu Pematah Hati berharap agar selepas ini dia tidak akan menerima komen kesat seperti itu lagi.
"Saya dan team hanya buat kerja kami dan tidak pernah menganggu sesiapa.
"Untuk masa depan saya harap tiada lagi komen sebegini. Saya juga minta maaf jika ada mengguris hati mana-mana pihak sepanjang berada dalam industri," katanya lagi.
Sebelum ini, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali mendedahkan ada netizen yang mengecam serta mempertikaikan bakat nyanyian dan lakonannya dalam industri muzik tanah air.