Laman Utama
Nabila Razali Puas Hati Peluang Kedua Versi Hael Husaini, Tapi Siapa Nyanyi AJL35 Nanti?
Penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengakui berasa sangat gembira dengan persembahan lagu Peluang Kedua oleh Hael Husaini yang menggantikannya di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) malam tadi.
Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Bella, 28, persembahan ‘effortless’ Hael yang mempersembahkan lagu ciptaannya sendiri bersama MFMF itu tidak sesekali akan dilupakan.
“Alhamdulillah selesai sudah malam yang dinantikan oleh semua dan Bella! Sudah semestinya, berdebar.
“Untuk persembahan Hael Husaini pada malam itu, bagi Bella, ia satu persembahan yang Bella takkan lupakan.
“Alhamdulillah Bella sangat gembira dan teruja dengan persembahan Hael dan juga keputusan pada malam tadi,” komen Nabila menerusi satu kiriman WhatsApp kepada Gempak.
Bagi pihak pengurusan Bella sendiri, mereka juga cukup berpuas hati dengan persembahan Hael menerusi lagu lagu Peluang Kedua malam tadi.
“Kalau ada cakap-cakap daripada netizen pun, mungkin sebab orang dah terbiasa dengar suara Bella di radio.
“Jadi, mereka mungkin agak terkejut mendengarkan suara lelaki yang menyanyikan lagu tersebut. Tapi dari pihak kami, kami okay sahaja,” jelas Mohd Asrul Talib selaku pengurus Bella.
Apabila ditanya apakah Bella sendiri yang akan membawakan lagu tersebut pada malam Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) kelak, Asrul meminta semua untuk menunggu.
Terdahulu, Nabila memaklumkan menarik diri daripada SFMM35 selepas mengalami masalah peti suara dan dinasihatkan oleh doktor untuk berehat.
Pada saringan terakhir yang diadakan pada malam tadi, 12 lagu layak ke AJL35 antaranya Semalam nyanyian Aina Abdul, Belanggu Rindu (Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita), Hutang (Floor 88), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah) dan banyak lagi.
AJL35 dijadualkan akan berlangsung pada 7 Februari depan.