HIBURAN
Nadeera Menangis, Tiket Showcase Habis Terjual Dalam Tiga Minit - “Dah Lama Saya Impikan Saat Ini…”
Penyanyi, Nadeera tidak dapat menahan sebak apabila tiket showcase sulungnya bertajuk An Evening With Nadeera habis terjual hanya dalam masa tiga minit.
Selepas lebih sedekad menempa nama dalam industri hiburan, Nadeera menganggap pencapaian itu sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.
“Saya menangis sebenarnya, ini impian saya. Dah lama saya impikan saat ini. Ia satu mimpi yang terbukti hasil kerja keras, tawakal dan doa. Inilah hasilnya,” katanya penuh emosi.
Penyanyi lagu Bukan Lagi Kita itu juga akui tidak menyangka sambutan yang diterima begitu hangat kerana beranggapan bahawa namanya masih baharu dalam industri hiburan.
“Saya rasa nama saya masih kecil lagi dalam industri ini. Saya pun ragu-ragu, ada ke orang nak beli tiket saya. Tapi kuasa Allah, saya pun terperanjat bila dapat tahu tiket sold out dalam tiga minit,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media baru-baru ini.
Dalam showcase itu nanti, Nadeera turut menjanjikan persembahan istimewa dengan membawakan lagu-lagu hitsnya termasuk beberapa lagu popular penyanyi lain.
“Ada lagu-lagu yang saya dah lama nak nyanyi cuma tak pernah berpeluang. Kali ini saya akan nyanyikan juga lagu daripada penyanyi lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang saya rasakan cukup bermakna dan berkaitan dengan perjalanan saya,” ujarnya.
Showcase sulung Nadeera bertajuk An Evening With Nadeera yang bakal berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama pada 30 Mei ini
Sementara itu, Hael Husaini Antonim Night yang turut berlangsung di lokasi sama pada 31 Mei ini turut menerima sambutan hangat apabila tiketnya habis dalam masa 17 minit.
Kedua-dua acara ini dibawakan oleh Mask Team dan Usanita Entertainment.
Must-Watch Video