HIBURAN
Nadhir Nasar Simpan Dan Pakai 'Gelang' Peminat - “Saya Sangat Hargai Mereka…”
Pelakon, Nadhir Nasar, tampil berkongsi mengenai gelang manik berwarna-warni yang menjadi aksesori pilihannya ketika menghadiri majlis pelancaran komik kolaborasi UNDER18 x KLEPET sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) semalam.
Menurut Nadhir, setiap gelang tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia merupakan pemberian daripada peminat yang hadir ke sesi bertemu peminat atau ‘meet and greet’.
“Semua ini daripada peminat saya. Ini adalah beberapa gelang yang mereka bagi ketika sesi meet and greet. Saya sangat hargai peminat saya. Setiap kali buat sesi macam ni, mesti ada wajah-wajah baru,” katanya kepada media.
Ujar pemenang Hero Remaja 2020 itu lagi, sebagai seorang artis yang sedang membina nama, dia sangat menghargai segala bentuk sokongan yang diterima, termasuk hadiah-hadiah kecil yang dianggap penuh makna dalam perjalanan seninya.
“Saya sangat hargai perkara ini dalam proses saya bergelar artis. Saya simpan semua hadiah yang mereka beri, dan ada juga beberapa gambar yang saya muat naik di media sosial. Sebab saya suka, jadi saya tak kisah nak pakai.”
Ditanya sama ada dia pernah bimbang dengan kemungkinan wujud unsur-unsur tidak baik pada barangan pemberian peminat, kata Nadhir dia hanya berserah kepada Tuhan.
“Saya bekerja di atas jalan Tuhan. Jadi saya hanya husnudzon dan berserah sahaja,” ujarnya.
Menerusi perkembangan lain, Nadhir turut terlibat dalam projek kolaborasi antara siri komik popular UNDER18 dan filem KLEPET, yang dilancarkan sebagai ‘Exclusive Box’ edisi terhad di PABKL.
Diterbitkan oleh Kadokawa Gempak Starz bersama studio Respected Citizen, kolaborasi ini menyatukan dunia komik dan filem tempatan melalui gabungan jalan cerita, seni visual, dan persembahan kreatif.
Selain Nadhir, filem arahan Indra Putra itu turut dibarisi pelakon seperti Aedy Ashraf, Meerqeen dan ramai lagi.
Filem tersebut dijangka bakal ditayangkan hujung tahun ini.
KLEPET mengisahkan tiga sahabat yang secara tidak sengaja terlibat dalam pengembaraan luar biasa selepas bertemu seorang wanita Ukraine yang melarikan diri daripada sindiket penipuan.
Must-Watch Video