Nadia Brian Sebak Dengar Penjelasan Ustaz Izhar Nazri Mengenai Kemaafan - “Allah Minta Kita Untuk Memaafkan Tapi…”
Asyikin Mayudin
19/03/2024 04:55 MYT
19/03/2024 04:55 MYT
Tular video podcast yang dikongsikan di Instagram Cintaquran memperlihatkan pelakon Nadia Brian meminta tips untuk memaafkan orang dengan mudah daripada pendakwah, Ustaz Izhar Nazri.
BERITA TRENDING: “Saya Tak Mahu Jadi Penyondol Atau Disondol” - Nadia Brian
Menerusi video itu, Nadia memberitahu dia seorang yang sangat mudah memaafkan orang namun tidak dapat melupakan perbuatan seseorang itu terhadapnya.
“Nak memaafkan orang ini rasa susah sangat. Apa tips nak bagi hati kita ikhlas nak memaafkan seseorang iotu walaupun dia buat jahat kat kita, fitnah kita… macam-macam dia buat lagi.
“Saya sebenarnya senang… sebagai contoh, ibu bapa saya bercerai dari kecil dan saya membesar tanpa ayah. Nak maafkan ayah tu, memanglah ayah kita maafkan, tapi benda itu ada dalam hati kita,” dedah Nadia.
Pada perkongsian itu, Ustaz Izhar Nazri memberitahu sememangnya bukan mudah untuk melupakan kesalahan orang yang sudah menyakiti kita namun memaafkan seseorang itu juga boleh membuatkan hati berasa lapang.
“Ada orang yang rasa ‘aku boleh maafkan tapi aku takkan boleh melupakan. Nabi tak pernah pun minta kita melupakan salah orang pada kita.
“Allah minta kita untuk memaafkan, tapi tidak melupakan supaya kita belajar dari silap kita yang dulu. Kita tidak lagi letakkan harapan pada manusia.
“Dalam surah an Nur ayat 22, sesiapa yang boleh memaafkan kesilapan yang orang dah buat, pada dia dan berlapang dada, aku maafkan dia. Maknanya lagi besar sebenarnya Allah akan bagi pada kita.
“Syarat apa? Memaafkan orang lain. Rupa-rupanya ini konsep dia, kalau Allah tak izin, dia takkan sakiti, lidah yang cakap buruk pasal kita pun dengan izin Allah,” katanya.
Menurut Ustaz Izhar, kehidupan seseorang itu juga akan berasa lebih tenang dengan memaafkan orang yang menyakitinya.
“Sebenarnya Allah sedang menjawab kita punya doa. Hari-hari kita minta, ampunkan kita. Ulama beritahu kalau la amalan kita tidak dapat menjemput keampunan Allah, Allah akan hantar manusia untuk sakiti kita.
“Supaya bila kita maafkan orang yang sakiti kita tu Allah akan ampunkan kita. Hidup kita takkan tenang, selagi kita nampak siapa sakiti kita. Kita akan mula lapang bila kita tahu siapa yang hantar orang ini.
“Itulah cara proses untuk kita nak memaafkan orang. Ia ambil masa, tapi ia berbaloi,” ujarnya.