Pelakon Nadia Brian menolak tawaran untuk membintangi drama terbitan sebuah produksi Hollywood selepas mengetahui ada adegan bogel dan ranjang.

Nadia berkata, walaupun terpaksa melupakan impian untuk melangkah kaki ke Hollywood, namun demi maruah diri dan keluarga dia menolak tawaran terbabit.

"Sejujurnya, impian setiap pelakon pastinya mahu melangkah ke luar negara. Sejak kecil, saya memang sukakan drama barat, apatah lagi, berangan-angan menjejaki Hollywood. Saat pengurus bertanyakan mengenai tawaran ini, saya tidak fikir dua kali mahu menolak.

"Saya begitu teruja apabila dimaklumkan membawa watak kekasih kepada seorang pembunuh upahan. Bagaimanapun, apabila mengetahui cerita lebih terperinci mengenai babak dalam drama ini, saya terdiam seketika.

"Saya diberitahu ada babak bogel dan adegan ranjang dengan hero berkenaan. Bagi saya, drama Hollywood memang normal dengan babak panas, tetapi bukan di Malaysia.

“Biarpun drama ini akan disiarkan dalam satu platform penstriman Hollywood, tetapi sudah pasti, orang Malaysia pun akan menontonnya.

“Saya tak sanggup menggadaikan maruah diri, keluarga, agama dan negara. Saya orang Islam dan Melayu, saya masih jaga semua batasan itu.

“Saya anggap bukan rezeki saya apabila menolak tawaran ini. Jika ada tawaran akan mendatang, saya harus meletakkan syarat. Percayalah, jika ada rezeki tidak ke mana," katanya.

Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi sepatutnya terbang ke Ireland selama enam bulan sekiranya menerima tawaran membintangi drama 12 episod tersebut.

Tambah Nadia, dia tidak sedikit pun menyesal kerana menolak tawaran tersebut biarpun ia peluang keemasan.

"Saya akan lebih menyesal jika melakukan perkara yang boleh mencalarkan maruah keluarga, agama dan negara. Saya percaya rezeki Allah amat luas. Saya tumpang bangga artis kelahiran Malaysia seperti Datuk Michelle Yeoh dan Henry Golding berjaya mengukir nama di Hollywood.

"Laluan mereka barangkali agak mudah sebab mereka bukan orang Islam. Bagi saya, mustahil bagi pelakon Melayu untuk melakonkan babak yang keterlaluan," katanya.

Sumber: BHOnline