HIBURAN
Nadin Amizah Selamat Bertunang Dengan Rakan Seindustri
Penyanyi popular dari Indonesia, Nadin Amizah, 24, selamat mengikat tali pertunangan bersama teman lelakinya yang juga penyanyi, Faishal Tanjung, dalam satu majlis tertutup yang berlangsung pada Jumaat lalu.
Dalam beberapa keping foto dan video yang dikongsikan menerusi media sosial, Nadin tampil anggun mengenakan kebaya lengkap dengan perincian manik rona merah jambu lembut, manakala Faishal pula segak bergaya dengan kemeja putih dan seluar potongan cutbray hitam.
Majlis yang diadakan secara sederhana namun penuh makna itu menyaksikan beberapa momen mesra pasangan berkenaan, termasuk video yang memperlihatkan Nadin menunjukkan cincin pertunangan di jari manisnya serta foto mesra Faishal mencium pipi tunangnya.
“Langkah pertama dari milyaran langkah lain ke depannya,” tulis pelantun lagu Bertaut itu menerusi kapsyen hantaran Instagram miliknya.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ribuan ucapan tahniah diterima daripada para peminat dan rakan selebriti.
Sekadar info, sebelum mengikat tali pertunangan, Nadin Amizah telah mengumumkan bahawa dirinya telah dilamar oleh Faishal Tanjung pada 22 November 2024.
Pasangan itu, yang mula menjalinkan hubungan cinta sejak tahun 2021, memutuskan untuk membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya selepas empat tahun bersama.