Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Nafi Memandu Dalam Keadaan Mabuk, Haidar Hasanudin Terima Mesej Ugutan Selepas Terlanggar Sebuah Kereta Dalam Kemalangan

Shahrin Zulkifle
28/03/2023 13:00 MYT

Pelakon Haidar Hasanudin meluahkan rasa kesal apabila dituduh memandu dalam keadaan mabuk dan tidak bertanggungjawab selepas terlibat dalam satu kemalangan, baru-baru ini.

Menurut aktor itu, dia mengaku bersalah apabila melanggar sebuah kenderaan jenis Proton Satria, bagaimana pun menafikan bahawa dia memandu dalam keadaan separuh sedar seperti didakwa beberapa pihak.

Bertambah teruk, Haidar didakwa bertindak untuk mengelak daripada bertanggungjawab atas kejadian terbabit.

“Saya terlibat dalam kemalangan pada 15 Mac lepas. Kenderaan saya terbabas dan terlanggar sebuah Proton Satria. Saya akui saya bersalah kerana melanggar dari arah belakang.

“Jadi, saya mohon maaf dan terus ke Balai Polis untuk membuat laporan untuk mengikut lunas undang-undang yang betul. Saya juga memintanya untuk membuat laporan polis.

“Selepas kemalangan, saya juga telah melakukan pemeriksaan di hospital dan pihak doktor mengesahkan saya mengalami retrograde amnesia akibat hentakan kuat beg udara di muka dan kepala saya.

“Namun, dia mahu menyelesaikan di luar dan meminta saya membayar ganti rugi. Saya tegaskan saya mahu mengikut cara yang betul. Namun dia tidak berpuas hati dengan saya kerana rupa-rupanya kereta terbabit tiada cukai jalan.

“Selepas itu, timbul pula cerita saya memandu dalam keadaan separa sedar, memandu dalam keadaan mabuk, baru balik kelab malam dan sebagainya.

“Pihak sana membuat hantaran di laman sosial Facebook dan TikTok memfitnah saya. Hantaran di TikTok mendapat hampir 150,000 tontonan. Lebih buruk, dia menghubungi beberapa media dan menyebarkan cerita tidak benar,” katanya.

Tegas Haidar, sekiranya benar dia memandu dalam keadaan mabuk, sudah pasti dia ditahan ketika hadir di balai polis untuk membuat laporan.

“Kalau benar saya mabuk, pihak polis akan terus melakukan siasatan dan menahan saya. Jika betul dakwaan itu, pastinya saya akan ditangkap ketika membuat laporan polis. Jelas tuduhan mabuk itu fitnah dan menjatuhkan reputasi saya.“Pihak sana (Proton Satria) juga menghantar mesej berunsur ugutan terhadap saya seperti tahu di mana lokasi saya tinggal dan sebagainya.

“Atas faktor keselamatan, saya membuat laporan polis. Saya juga sudah berbincang dengan pihak peguam saya untuk tindakan selanjutnya atas fitnah yang sudah dilemparkan.

“Sekiranya dia tidak memadam semua hantaran fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka, saya tidak teragak-agak untuk panjangkan perkara ini dan membuat tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Haidar turut berkongsi kenyataan media yang ditulis oleh peguamnya, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi dari Shaharudinali Azfarazmi & Co yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

A post shared by Haidar Hasanudin (@haidarhasanudin)

Terdahulu, Haidar terbabit dalam kemalangan dekat Jalan Raja Laut di sini apabila kereta jenis Honda City yang dipandunya, melanggar kenderaan jenis Proton Satria di lampur isyarat.

Haidar bagaimanapun telah membuat laporan polis dan bersedia untuk bertanggungjawab penuh atas kesalahannya.

Namun, pemilik Proton Satria itu telah memuat naik hantaran di media sosial dengan menyampaikan berita berbaur fitnah ke atas dirinya.

Malah, kenyataan yang tidak benar itu menjadi sumber sebuah portal melaporkan gosip mengenai seorang aktor yang didakwa baru pulang dari kelab malam dalam keadaan mabuk dan terlibat dalam kemalangan.

#Kemalangan #Ramadan #Polis #Mabuk #Haidar Hasanudin
;