HIBURAN

Nafi ‘Tanggung’ Suami, Shila Amzah Anggap Tuduhan Netizen Tak Berasas - “Biarlah Gambar Yang Menjawab…”

Asyraf Roslan 21/07/2025 | 06:25 MYT

Penyanyi, Shila Amzah menolak sekeras-kerasnya dakwaan segelintir netizen yang menuduh dirinya bekerja untuk menyara keluarga termasuk suaminya, Ubai MZ.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 35, tuduhan yang diberikan netizen itu sangat tidak berasas sama sekali.

“Pada saya, mereka yang berkata begitu sebenarnya langsung tiada asas. Semestinya tak ada asas langsung.


“Kalau dakwaan itu berasas, tak mungkin saya sebahagia sekarang. Tak perlu pergi jauh, tengok sahaja gambar saya dalam media sosial dari tahun 2023 ke atas dan bandingkan dengan sekarang. Jelas sangat perubahannya, lebih ceria dan bahagia. Biarlah gambar yang menjawab segala-galanya,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Shila menyifatkan suaminya itu sebagai lelaki berjiwa pelindung yang tidak pernah melepaskan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Dia sangat protektif dan bertanggungjawab terhadap saya dan juga perkahwinan kami. Kalau boleh, dia tak mahu langsung perkara-perkara tak elok berlaku, apatah lagi anak-anak kami pun dah besar.

“Dia sejenis suami yang saya tak perlu arah atau minta apa-apa. Walaupun dia lapan tahun lebih muda daripada saya tapi dia sangat matang dalam setiap keputusan dibuat,” ujarnya.

Tidak peduli dengan segala tomahan, pelantun lagu Pernah Punya Aku itu berkata Ubai memainkan peranan besar dalam rumah tangga, termasuk membesarkan dua cahaya mata mereka.

Terdahulu, Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 27, menerima kecaman dalam TikTok yang mendakwa dirinya tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada Shila.

Terkesan dengan tuduhan berbaur fitnah itu, Ubai tampil membela diri dan memuat naik beberapa komen netizen termasuk menyelar tindakan individu terbabit yang disifatkan fitnah dan melampaui batas itu.

Untuk rekod, Ubai dan anak kepada penyanyi ND Lala itu mendirikan rumah tangga pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira.

Shila juga mempunyai seorang anak lelaki, Seth Uwais hasil perkahwinan terdahulu bersama Haris Edraki.

#Shila Amzah #Ubai #Tanggung Suami