BERITA
Nahas Air India: Seorang Penumpang Dilaporkan Selamat - Komisioner Polis
Seorang penumpang Air India, Ramesh Vishwaskumar Bucharvada, dilaporkan satu-satunya individu yang terselamat dalam nahas udara di Ahmedabad, India pada Khamis.
Warga Britain berusia 38 tahun itu dilaporkan duduk di kerusi bernombor 11A sempat melompat keluar dari pesawat AI171 ketika nahas berlaku.
Sebuah video tular menunjukkan Ramesh, yang mengalami kecederaan, berjalan menuju ke lokasi nahas.
Mengesahkan perkembangan terkini ini, Komisioner Polis, G.S.Malik dilaporkan berkata, pihak polis berjumpa dengan Ramesh di sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Tidak dapat dikenal pasti buat masa ini, jumlah kematian yang sebenar. Jumlah mungkin akan meningkat kerana pesawat berkenaan terhempas di kawasan perumahan," kata Malik.
Kerusi bernombor 11A dalam pesawat Air India 787-8 Dreamliners terletak di barisan hadapan kelas Ekonomi kabin. Kerusi bersebelahan tingkap pesawat itu terletak di sebelah kanan dan dua barisan ke hadapan sayap pesawat.
Terdahulu, Komisioner Polis dilaporkan berkata kesemua penumpang terkorban dalam nahas berkenaan.
Stesen televisyen NDTV turut melaporkan perkembangan terbaharu ini dan menggelar lelaki berkenaan, 'the walking miracle'.
Pesawat Air India itu terhempas pada jam 1.38 tengah hari sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmadebad, India, pada Khamis. Pesawat itu turut merempuh sebuah asrama perubatan, Kolej Perubatan B.J. yang terletak berdekatan lapangan terbang itu.
Sumber: Awani
Must-Watch Video