BERITA
Nahas Air India: Swafoto Terakhir Suami Isteri, Tiga Anak Sebelum Pesawat Terhempas
Sekeping gambar swafoto yang dirakam dalam pesawat Air India menjadi simbol terakhir kegembiraan sebuah keluarga sebelum tragedi menimpa.
Ia merakam detik penuh harapan sebuah keluarga doktor dari Rajasthan sebelum pesawat dinaiki mereka terhempas dan mengorbankan 241 daripada 242 orang di dalamnya.
Swafoto tersebut memaparkan Dr Prateek Joshi dan isterinya, Dr Komi Vyas, tersenyum sambil duduk di satu bahagian pesawat, manakala tiga anak mereka iaitu sepasang kembar lelaki dan seorang anak perempuan duduk di seberang lorong, turut tersenyum ceria.
Rakaman itu dipercayai diambil hanya beberapa minit sebelum pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad menuju ke London.
Dr Komi Vyas, sebelum ini bertugas di sebuah hospital di Udaipur, telah meletakkan jawatan untuk berhijrah ke London bagi bersama suaminya, Dr Prateek Joshi, yang terlebih dahulu menetap di sana.
Pasangan itu membawa bersama tiga anak mereka Nakul dan Pradyut, masing-masing berusia lima tahun, serta anak perempuan mereka, Miraya, berusia lapan tahun.
"Beliau baru berhenti kerja untuk mengikut suaminya ke London," kata jurucakap Hospital Pacific, tempat Dr Komi pernah berkhidmat bersama suaminya.
Menurut saudara terdekat keluarga, Dr Joshi baru sahaja pulang ke kampung halaman mereka di Banswara, Rajasthan awal minggu ini untuk membawa isterinya dan anak-anak berlepas ke United Kingdom.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video