Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Nahas FRU: Lori Pasir Alami Kegagalan Fungsi Stereng - Polis

Gempak 13/05/2025 | 04:55 MYT

Kegagalan fungsi stereng sebuah lori pasir menjadi punca nahas yang mengorbankan sembilan orang termasuk lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Perak pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.51 pagi dan melibatkan sebuah lori pasukan yang membawa 18 anggota dengan sebuah lori muatan pasir.

“Lori FRU Unit 5 tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan pasukan telah dirempuh dari hadapan oleh lori pasir terbabit yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati lapan anggota dan pemandu lori telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Enam anggota mengalami cedera parah dan empat yang lain cedera ringan. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan.

“Polis Perak menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

#Polis #Langgar #Masalah #Lori #FRU #Stereng