Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Nahas FRU: Tiga Anggota Masih Kritikal, Tidak Sedarkan Diri

Gempak 15/05/2025 | 02:25 MYT
Tiga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan, Perak pagi Selasa, masih berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, anggota berkenaan ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.

“Kesemua mereka kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Teluk Intan.

“Hari ini pihak kami mengadakan ziarah kebajikan ke atas mangsa-mangsa yang cedera dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, terdapat empat lagi anggota yang cedera telah sedar dan sedang dirawat di hospital yang sama.

Mereka ialah Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34; Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26; Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39; dan Sarjan Mohd Parih Ali, 44.

Dalam kejadian pada jam 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, terlibat dalam kemalangan selepas trak yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori muatan batu kerikil.

Kejadian itu mengorbankan lapan anggota di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Sumber: Sinar Harian menerusi Bernama

#Cedera #Parah #Nahas #Tiga #FRU