Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Nahas Trak FRU: Pemandu Lori Mengaku Tidak Bersalah Sembilan Tuduhan Memandu Secara Merbahaya

Awani 16/05/2025 | 06:25 MYT
Pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam nahas jalan raya mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa, mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Md Radi, 45 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nurhamizah Shaffiuddin di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Perak hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pemandu lori dengan nombor pendaftaran AKL 4674 didakwa memandu dengan cara merbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU.

Sembilan anggota itu ialah Sarjan S. Perumal, 44 tahun; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46 tahun; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41 tahun; Koperal Nurit Pandak, 34 tahun; Koperal Amiruddin Zabri, 38 tahun; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38 tahun; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35 tahun; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33 tahun, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28 tahun.

Dia yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik, dalam Daerah Hilir Perak, kira-kira jam 9.05 pagi, pada 13 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu, selain lesen memandunya digantung.

Mahkamah turut menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili Peguam Francis Sinnappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah pada 9.03 pagi dengan memakai kemeja T hitam dan berseluar panjang kelabu selain memakai pelitup muka.

Turut mengiringi tertuduh ialah Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.

Dalam kejadian pada Selasa, lori yang dipandu lelaki itu bertembung trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

Akibat kemalangan itu sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri (HRPB) Ipoh.

Dua daripada yang cedera telah dibenarkan pulang manakala enam masih dirawat di Hospital Teluk Intan dan seorang di HRPB.

Sumber: Astro Awani

#Pemandu #Bersalah #Lori #Nahas #Tidak #FRU