Kes harian negara menunjukkan peningkatan dengan 4,262 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 2,707,402.

Menerusi kemas kini yang dikongsikan di laman Facebook, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman CovidNow.



“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW:https://covidnow.moh.gov.my . Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekaligus selepas tengah malam,” tulisnya.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 15 Dec 2021 untuk seluruh negara adalah 0.92.

Sebelum ini, rata-rata netizen menarik nafas lega setelah angka menunjukkan penurunan. Namun, ada antara mereka masih menasihati yang lain supaya kekal menjaga SOP.

Dalam pada itu, pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.

Lanjutan daripada itu, pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE) telah mencadangkan agar semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) perlu mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.