Hiburan
"Naik Tangga Pun Boleh Jatuh, Inikan Pula..." - Tunggang Motosikal Lasak, Black Tak Serik?
Penyanyi Black bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecedaraan ketika menunggang motosikal lasak Isnin lalu.
Menurut Black, kemalangan itu berlaku ketika dia melakukan gerakan lompatan di permukaan tanah berbukit.
"Saya pun tak menjangka akan berlakunya kemalangan, apapun, saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Saya terjatuh ketika gerakan lompatan, rasa sakit memang ada tetapi hanya ketika jatuh itu sahaja.
"Saya telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, doktor mendapati tiada kecederaan dalaman dan membenarkan saya keluar sejam selepas itu," ujarnya.
Black berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert 4G's di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah Black, dia tidak menafikan wujudnya rasa serik, namun dia mahu meneruskan aktiviti menunggang motosikal lasak atas dasar hobi.
"Tak dinafikan memang wujud rasa serik, tetapi saya akan teruskan aktiviti ini disebabkan hobi.
"Apa yang penting, saya harus lebih berhati-hati selepas ini, naik tangga pun boleh jatuh, inikan pula tunggang motosikal," selorohnya.
Dalam perkembangan lain, Black akan bergandingan bersama Hazama, Akim dan Tomok dalam Konsert 4G's.
Konsert 4G's akan berlangsung di Istana Budaya pada 17 dan 18 April ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai konsert tersebut, sila hubungi 018-2488184.
Must-Watch Video