HIBURAN
Naim Daniel Mengaku Tidak Bersalah, Bayar Ikat Jamin RM12,000
Peguam yang mewakili penyanyi Naim Daniel, iaitu Mohd Irwan Sumadi memaklumkan anak guamnya mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur di Mahkamah Seksyen di Putrajaya pada Selasa.
Jelas Mohd Irwan, anak guamnya itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary dan pihaknya juga memohon untuk dibicarakan.
“Sebentar tadi Encik Naim telah dipertuduhkan di bawah Seksyen 14(a) yang mana anak guam kami telah mengaku tak bersalah dan mohon dibicarakan.
“Hari ini merupakan satu pemula kepada satu proses undang-undang yang panjang dan pada peringkat ini kami tidak ingin mengulas lebih lanjut mengenai fakta kes.
“Kami juga percaya sistem kehakiman negara akan beri ruang yang adil kepada semua pihak,” katanya kepada media.
Sementara itu, peguam Amirul Ridzuan Hanif yang turut mewakili Naim memaklumkan anak guamnya dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada pihak mahkamah.
Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 Ogos depan.
Bagi pertuduhan hari ini, Naim didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.
Pada 4 Jun lalu, media melaporkan penangkapan seorang pelakon dan penyanyi bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa yang berusia 17 tahun itu difahamkan mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe sebelum mereka beberapa kali bertemu susulan perkenalan itu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek kemudiannya membawa mangsa berjumpa di sebuah hotel.