HIBURAN

Naim Daniel Syukur Keluarga Bagi Sokongan Penuh - "Mereka Pun Turut…"

Asyraf Roslan 17/06/2025 | 07:25 MYT
Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel meluahkan rasa syukur apabila keluarga memberi sokongan penuh kepadanya.
Naim turut memberitahu keluarganya mendoakan agar urusan kes melibatkan dirinya didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur dipermudahkan.
"Keluarga saya Alhamdulillah, tak ada masalah… mereka pun mendoakan yang terbaik untuk saya," katanya ringkas.
Keluarga penyanyi berusia 28 tahun itu juga dilihat turut hadir menemaninya di Mahkamah Seksyen di Putrajaya pada Selasa.
Mengulas mengenai perjalanan kariernya, pelantun lagu Sumpah itu menyatakan dia masih lagi berbincang dengan pihak pengurusan.
"Alhamdulillah saya pun tak adalah nak melatah ke apa, sebab saya punya fokus untuk perkara ini dulu.
"Untuk persembahan masih lagi berbincang bersama pihak pengurusan tapi untuk masa ini kami beri fokus apa yang sudah ada di depan kami dahulu," kata Naim.
Terdahulu, peguam yang mewakili penyanyi Naim Daniel, iaitu Mohd Irwan Sumadi memaklumkan anak guamnya mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur di Mahkamah Seksyen di Putrajaya pada Selasa.
Jelas Mohd Irwan, anak guamnya itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary dan pihaknya juga memohon untuk dibicarakan.
#Naim Daniel #Kes Amang Seksual #Mengaku Tidak Bersalah