Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan suaminya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada dalam keadaan sihat.

Beliau mengikuti perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bekas Perdana Menteri itu turut menyatakan tidak ada apa-apa yang mahu diperkatakan.

“Tak ada apa (mahu diperkatakan). Datuk Seri (Najib) sihat,” katanya kepada pemberita ketika keluar daripada Mahkamah Tinggi pada Khamis.

Rosmah yang memakai baju merah jambu juga berterima kasih kepada penyokong Najib yang hadir memberikan sokongan di mahkamah.

“Terima kasih banyak-banyak kerana datang beri sokongan,” ujar beliau.

Najib dilapor menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Pada Selasa, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

SINAR HARIAN