Gelagat pelakon Ashraf Muslim yang membawa kedua-dua isterinya, Sakinah dan Dayana menghadiri malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian hujung minggu lalu antara yang mencuri perhatian peminat dan penonton.

Mengakui risau akan timbul perkara luar jangka ekoran tindakan terbabit, Ashraf bagaimanapun sudah bersedia.

"Pada mulanya kalau boleh saya tidak mahu membawa sesiapa, tetapi memandangkan mereka pun menyokong saya dari awal dan tersenarai menjadi finalis saya rasa tiada masalah untuk membawa kedua-duanya sekali. Mungkin akan ada kelainan nanti.

"Cuma dari awal lagi saya pesan supaya pandai-pandai bawa diri," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media program Ramadan TV3 & TV9 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Susulan tindakan kali pertama Ashraf membawa kedua-dua isterinya, pelakon filem Aku Masih Dara itu mengakui muncul juga komen-komen negatif netizen.

"Biasalah, orang masih skeptikal dengan perkara poligami dan ramai yang tidak suka. Malah, sebelum bawa mereka keluar bersama pun sudah ada ayat-ayat negatif," ujarnya.

Ashraf tidak serik untuk membawa kedua-dua isterinya selepas ini menghadiri acara hiburan.

"Sebenarnya seminggu sekali saya akan membawa mereka keluar bersama-sama. Bagi saya komunikasi itu penting dalam berkeluarga, tidak kisah kahwin satu atau dua.

"Jika tiada komunikasi, hubungan akan renggang. Sekiranya selalu berjumpa akan kurang rasa marah, merapatkan silaturrahim dan memudahkan saya untuk membuat keputusan," tambah Ashraf.




Teks oleh: Amri Hassan