"Nak Bantu Mereka Walau Sedikit Tapi Berterusan"- Bakal Buka 10 Pasar Raya, Ustaz Ebit Lew Mohon Doakan Bisnesnya...

Hanafis Haris
Jun 23, 2020 17:38 MYT

Awal bulan lalu, penceramah dan pendakwah bebas popular, Ustaz Ebit Lew meluahkan hasratnya untuk membuka 10 cawangan pasar raya menjual barangan runcit.

Ketika itu, Ebit difahamkan sedang mencari pembekal barangan runcit paling murah untuk pasar raya yang digelar sebagai Elews Mart.

Namun, hari ini impian Ebit membuka pasar raya semakin tercapai apabila ia bakal dibuka tidak lama lagi.

Bukan satu, bukan dua tapi difahamkan Ebit Lew bakal membuka 10 cawangan kesemuanya.

Perkara itu didedahkan menerusi satu posting di Instagram semalam.

Menurut Ebit, kini kesemua 10 cawangan berkenaan sedang diubah suai sebelum ia dibuka kepada orang ramai.

“Pohon doakan yer sahabatku semua. Doa semua sangat penting dalam usaha ini.

“Saya pergi mana semua tanya kenapa tiba-tiba nak buka 10 cawangan Elews Mart? Saya sangat bahagia dapat membantu orang susah.

“Saya fikir macam mana nak bantu mereka walau sedikit tapi berterusan. Saya teringin nak bantu semua tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya nak buat food bank di setiap Elews Mart dan teringin nak bantu jual dengan harga paling murah. Begitu juga peluang pekerjaan,” katanya.

Jelasnya, ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan, tiga lori besar digunakan untuk mengagihkan makanan, namun dalam tempoh tiga hari saja ia sudah habis.

“Di situ saya fikir nak bantu lebih ramai orang. Saya juga ada ambil tangungjawab untuk bayar sewa dan yuran anak sekolah ramai orang. Saya bahagia buat kerja ini.

“Dari kecil saya bercita-cita nak jadi asbab kebaikan buat semua manusia. Nak Allah sayang.

“Dulu saya miskin susah, alas tidur orang pernah bagi. Yuran pun begitu, doakan yer semua,” katanya.

Tambahnya, 10 cawangan berkenaan membabitkan kawasan Bandar Baru Bangi, Kajang,Cyberjaya, Sungai Buloh, Balakong Cheras, Shah Alam, Damansara, Prima Gombak,Gombak Traders dan Subang Perdana.

Menjengah ke ruang komen, rata-rata netizen menitipkan doa supaya pasaraya tersebut maju dan berjaya.

Dalam pada itu juga, tidak kurang yang bertanyakan sekiranya ada peluang kerja kosong disediakan oleh Ebit.

#Ustaz Ebit Lew #Pasaraya #Elews Mart