Pelakon Aedy Ashraf memuji tindakan pelakon dan kru yang mengamalkan norma baharu sepanjang penggambaran drama terbaharunya.

Jelas Aedy, Standard Operation Procedure (SOP) baharu ketika penggambaran merupakan langkah positif untuk menjaga kebersihan semua kru yang terlibat.

"Bagi saya sangat bagus apabila adanya SOP baharu bagi kru produksi penggambaran kerana boleh meningkatkan kesedaran tentang kebersihan.

"Kalau dulu orang boleh bersin dan batuk sesuka hati sekarang lebih cermat dan berhati-hati. Nak batuk pun pergi tandas dan tutup mulut," katanya kepada Gempak.

Aedy memuji tindakan kru dan pelakon yang patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Baginya pula, sanitizer dan topeng muka menjadi peneman setianya sepanjang di set penggambarannya.

"Tak adalah saya paranoid beriya-iya, cukup sekadar sanitizer dan mask sepanjang masa. Asalkan kita menjaga kebersihan itu dah memadai," tambahnya.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!